Semasa

Air tiada lagi?

89 kawasan bakal terjejas dengan gangguan bekalan air bermula hari ini

KUALA LUMPUR : Sebanyak 89 kawasan di sekitar Kuala Lumpur, Gombak, Petaling, Klang dan Shah Alam bakal terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual selama 48 jam hingga 68 jam bermula hari ini dan dijangka sehingga Selasa.

Menurut kenyataan Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri, gangguan bekalan air ini akibat daripada kerja-kerja penyelenggaraan secara berjadual untuk beberapa aset utama Air Selangor tahun ini.

Seperti yang diumumkan pada 24 Mac 2021, kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip berdekatan kilang Carlsberg di Persiaran Selangor Seksyen 15 Shah Alam bermula dan dijangka akan siap pada jam 9:00 malam hari ini. Pengalihan ini memberi kesan pada kawasan sekitar Klang, Petaling dan Shah Alam.

Sementara itu, kerja-kerja penggantian injap juga akan dilaksanakan pada 6 April 2021, jam 9.00 pagi hingga 9.00 malam. Berikutan ini, 12 kawasan di Wilayah Gombak dan 46 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula jam 9.00 pagi, 6 April 2021. Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada 9 April 2021, jam 5:00 pagi.

Merujuk pada laman portal Air Selangor, bekalan air akan mula disalurkan selepas kerja-kerja siap dilaksanakan dan proses pemulihan bekalan air adalah secara berperingkat-peringkat.

Dilaporkan, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada kuantiti bekalan air, jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Oleh Pelatih Fakulti  Komunikasi dan Pengajian Media Penyiaran – Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button