Air busuk jadi senjata Zionis halau demonstrasi aman Palestin
Serbuk cili, peluru getah juga jadi bahan halang kemaraan anti-Israel
TEBING BARAT : Sejak kebangkitan solidariti untuk Palestin setiap hari ada sahaja berita disiarkan mengenai masyarakat Palestin.
Selepas gencatan senjata dicapai, bantahan demi bantahan berlaku, kerana Israel berterus-terusan merampas tanah dan kediaman di Sheikh Jarrah, Silwan dan kini di Beita.
Selain peluru getah dan senjata pegun, kini semburan air busuk digunakan kembali sejak pertama kali Israel gunakan pada tahun 2008 untuk menyuraikan penunjuk perasaaan yang terdiri daripada rakyat Palestin dan aktivis.
Isnin lalu, polis Israel menggunakan bom tangan dan menyembur air busuk ke atas penduduk Palestin di Sheikh Jarrah. Sebelum itu berlaku pertembungan di antara tentera Yahudi dan Palestin yang menyaksikan batu dan kerusi dilemparkan ke arah penghuni asal Sheikh Jarrah.
Antara yang cedera termasuk 16 orang yang cedera akibat gas pemedih mata. Perkhidmatan perubatan juga mengatakan beberapa ambulans menjadi sasaran tentera Yahudi yang melemparkan batu ke arah kenderaan paramedik.
Tindakan menyembur air berbau kumbahan itu juga dikenakan ke atas sesiapa yang berhimpun dan menentang pihak berkuasa Israel. Tindakan sama juga dikenakan kepada pejuang tanah Silwan yang mahu dirampas Zionis. Strategi penggunaan skunk water adalah untuk menyatakan kepada dunia Israel tidak zalim kerana asyik melepaskan peluru getah dan bertindak kasar kepada rakyat Palestin.
Satu kajian perubatan pada tahun 2002 mendapati peluru getah yang digunakan oleh pihak berkuasa untuk mengawal kumpulan orang ramai berkata, peluru getah adalah antara alat yang tidak selamat dan boleh menyebabkan buta dan juga kecacatan kekal.
Namun langkah penggunaan menyembur air busuk boleh menyebabkan gatal-gatal pada kulit mangsa, selain merah mata, sakit perut dan keracunan apabila dijangkiti, dan mengambil masa lama untuk menghilangkan bau daripada badan.
`Skunk water’ telah digunakan sejak 13 tahun yang lalu oleh Israel. Sejak kebelakangan ini penggunaannya digiatkan kembali. Bahan seperti kumbahan itu dibangunkan oleh syarikat Israel – Odortec. Mereka mendakwa ia sebatian campuran yis, baking powder dan air, yang mesra alam sekitar. Namun bagi yang pernah melalui pengalaman disembur air busuk, bau cecair ini seperti bau mayat dan mengambil masa berhari-hari untuk hilang dari badan.
Isnin lalu, polis Israel dilihat menyerang rumah Palestin dan melemparkan bom tangan ke arah penduduk di dalamnya.
Syeikh Jarrah sering menjadi lokasi penindasan oleh polis Israel terhadap rakyat Palestin yang memprotes pengusiran paksa puluhan keluarga Palestin dari kediaman mereka demi kumpulan peneroka Israel yang biadap.
Israel menyebutnya sebagai “perselisihan harta tanah” sementara orang-orang Palestin dan kumpulan hak asasi mengatakan kes tersebut sebagai satu tindakan secara halus untuk mengusir rakyat Palestin.
Selain `skunk water’, semburan serbuk cili juga dikenakan ke atas penduduk Palestin seperti di Bab Al Moud, yang menyaksikan seorang pemuda Palestin disemburu cili dan kemudian ditangkap tanpa belas ihsan.
Oleh: Pelatih Fakulti Filem,Teater dan Animasi , UiTM -Hafiy Syazuan