Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih
Sambutan Aidilfitri tahun ini akhirnya kembali meriah setelah dua tahun negara kita dilanda pandemik, dan kali ini seluruh umat Islam di Malaysia boleh menyambutnya bersama keluarga yang jauh mahupun dekat.
Rata-rata masyarakat teruja melakukan persiapan bagi menyambut Aidilfitri pada hari ini, biarpun pengumuman raya baru sahaja diumumkan semalam, namun ia tidak menjadi halangan bagi mereka dalam menyediakan juadah raya.
Tambahan pula, dengan adanya kelonggaran SOP di masjid dan surau memberi peluang bagi masyarakat untuk beraya dengan penuh makna.
Selaras dengan pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang membenarkan jemaah bersalaman selepas solat dan membenarkan jemaah masuk ke masjid atau surau tanpa mengira status vaksinasi.
Kelihatan jemaah turut saling bersalaman dan bermaaf-maafan selepas menunaikan Solat Sunat Aidilfitri, ini dapat mengeratkan lagi hubungan sillaturrahim dalam masyarakat setempat.
Perayaan kali ini, sangat bermakna buat seluruh umat Islam, kerinduan terhadap keluarga yang sudah lama tidak berjumpa terubat pada Aidilfitri kali ini. Semoga pertemuan pada kali ini dapat mengeratkan lagi silaturrahim di antara seluruh keluarga.
Namun, dengan kelonggaran yang diberikan ini tidak boleh di pandang ringan, ini kerana jika kita tidak berjaga-jaga dan tidak mematuhi SOP yang ditetapkan, potensi kes Covid-19 akan meningkat semula sangat mudah.
Dengan kelonggaran yang diberikan ini ternyata mampu membuatkan orang ramai menarik nafas lega dan merebut peluang untuk kembali ke kampung halaman menziarahi keluarga dan saudara-mara yang sudah lama tidak berjumpa.
Oleh itu, dalam keseronokan ini jangan kita alpa dan mengabaikan langkah pencegahan yang perlu dilakukan bagi memastikan raya kali ini kekal meriah dan selamat.