BanjirSemasa

Agong zahir penghargaan semua pihak segera bantu mangsa banjir di Baling

KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, agensi kerajaan, petugas keselamatan, syarikat swasta dan individu yang bertindak segera menghulurkan banuan kepada mangsa banjir di Baling, Kedah.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Seri Paduka menzahirkan rasa dukacita terhadap tiga mangsa yang terkorban manakala lebih 1,400 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

“Seri Paduka menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga tiga mangsa terbabit dan berharap bersabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu.

“Seri Paduka turut menzahirkan harapan penduduk yang terjejas khususnya mereka yang kehilangan kediaman tabah dan sabar menghadapi dugaan yang berat ini dan menasihati penduduk di kawasan terbabit agar sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan keluarga,” menurut kenyataan tersebut.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengambil maklum masjid-masjid di seluruh negeri Pahang melaksanakan kutipan pada solat Jumaat semalam untuk disumbangkan kepada mangsa banjir yang terjejas sebagai solidariti atas musibah yang berlaku.

Bagi meringankan beban yang ditanggung akibat bencana itu, pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) diseru untuk menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terkesan.

“Seri Paduka mengajak rakyat untuk bersama Baginda mendoakan Malaysia sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk ancaman dan musibah,” kata Ahmad Fadil.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button