Semasa

Agong titah jangan jadikan agama bahan jenaka atas nama kebebasan bersuara

KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  bertitah agar agama tidak dijadikan satu bahan jenaka untuk bergurau senda semata-semata atas nama kebebasan bersuara.

Al-Sultan Abdullah bertitah pada Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H / 2022M semua pihak harus memainkan peranan untuk tidak sesekali memperkecil, menghina dan mempersenda agama.

“Sejarah peristiwa hijrah perlu dijadikan asas dalam melestarikan semangat perpaduan dan kemakmuran kaum agar seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama dapat hidup bersatu padu,” titah Baginda.

Seri Paduka turut menyeru rakyat agar menjadikan peristiwa Hijrah Rasulullah SAW sebagai panduan untuk membina sebuah negara yang stabil dan gemilang, selari dengan tema sambutan Ma’al Hijrah pada tahun ini iaitu “Keluarga Malaysia; Pemangkin Kemakmuran”.

“Ini adalah kerana kejayaan Rasulullah SAW dalam menubuhkan daulah menerusi kesatuan semua kaum dan agama, memberi mesej yang jelas akan kepentingan untuk hidup dalam aman damai, harmoni dan saling hormat menghormati antara kaum dan penganut agama,” titahnya.

Foto sumber FB Istana Negara

Dalam pada itu, majlis itu juga menyaksikan mantan Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha dikurniakan anugerah tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan tahun ini.

Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan anugerah tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa kepada Menteri Kanan Menjaga Misi Khas (Hal Ehwal Islam) Kemboja, Okhna Datuk Dr Othsman Hassan.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button