Semasa

Agong seru rakyat hargai pengorbanan pejuang, patriot kemerdekaan negara

Follow kami di https://t.me/UmmahTodayNews
Informasi berita ummah bagi perkembangan semasa dalam arus perjuangan ummah

Platform medsos : https://linktr.ee/UmmahToday

SHAH ALAM : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia di negara ini mahupun yang berada di luar negara.

 

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka menzahirkan kesyukuran kerana pada usia kemerdekaan negara menginjak ke-64 tahun, perpaduan dan keharmonian rakyat terus menjadi asas kukuh dalam mengekalkan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara yang kita cinta selama ini.

 

Seri Paduka Baginda turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dan kesihatan, pasukan keselamatan, penjawat awam, sukarelawan dan orang perseorangan yang menabur khidmat bakti kepada masyarakat serta negara.

 

Tambah beliau, Seri Paduka Baginda mengajak rakyat untuk mengingati dan menghargai pejuang, patriot kemerdekaan negara serta anggota keselamatan yang berkorban sehingga berjaya menyelamatkan negara daripada belenggu penjajah dan seteru negara.

 

Menurut Ahmad Fadil, Yang di-Pertuan Agong juga mahu rakyat mengimbau kembali enam dekad yang lalu di mana semangat patriotisme dan cintakan tanah air telah menyatupadukan rakyat sekaliannya.

“Ia bersatu padu dengan tekad dan iltizam untuk bangkit menentang penjajah sehingga kemerdekaan yang diidamkan menjadi sebuah realiti.

 

“Justeru, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa sekiranya semangat dan roh perjuangan enam dekat lalu diterapkan dan disuburkan kembali pada hari ini, nescaya negara juga berupaya merdeka daripada ancaman pandemik Covid-19 buat selama-lamanya.

 

“Sesungguhnya, kesepaduan sosial, integrasi nasional dan perpaduan antara kaum merupakan kunci untuk negara menghadapi cabaran termasuk menghadapi badai gelora pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara,” katanya.

 

Menurutnya, Seri Paduka Baginda juga mahu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) terus diperkasa bagi membolehkan negara mencapai imuniti kelompok seperti diharapkan.

 

“Rakyat juga sewajarnya berpegang teguh kepada prinsip Malaysia Prihatin dengan segera mendapatkan vaksin bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti.

 

“Seri Paduka Baginda berpandangan bahawa sikap segelintir yang tidak bertanggungjawab dengan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan ditetapkan hanya membawa musibah kepada masyarakat dan menggugat pelan pemulihan negara yang telah dirangka,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

 

Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda juga berkenan menasihati rakyat agar terus menjaga kesihatan dan turut bersatu padu dalam mewujudkan suasana persekitaran yang selamat demi untuk membendung penularan pandemik.

Oleh Hafeez Anuar

 

Related Articles

Back to top button