Agong luah rasa dukacita hukuman diyat belum dilaksanakan
Hukuman diyat adalah pampasan kepada keluarga mangsa yang terkesan dengan tindakan penjenayah
KUANTAN: KDYMM Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyuarakan rasa dukacita tentang hukuman diyat yang belum dilaksanakan di negara ini.
Al-Sultan Abdullah bertitah, pelaksanaan hukuman diyat itu sudah dicadangkan oleh Baginda sejak 5 hingga 6 tahun lalu, namun ia masih di peringkat kajian sehingga kini.
KDYMM Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah luah rasa dukacita cadangan baginda tentang hukuman diyat masih tidak dilaksanakan (kredit video Pahang Media) pic.twitter.com/a1uetzohCp
— Adli Effendy (@adlieffendy) September 5, 2022
“Saya menyarankan pihak yang berkenaan supaya menentukan cadangan untuk hukuman diyat dapat dikaji, diteliti dan dilaksanakan di Pahang dan amnya di Malaysia.”
“Sudah hampir 5 hingga 6 tahun saya mengemukakan cadangan ini tapi ia masih di peringkat kajian dan perbincangan”.
“Sampai tua sudah saya dan bercucu pun masih belum diputuskan,” titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan majlis perasmian & pemasyhuran Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang, Kompleks Syariah Al-Sultan Abdullah, Kuantan pada Isnin.
Merujuk tulisan YB Senator Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri tentang Diyat dan pengertiannya dari segi bahasa berasal daripada kalimah ودى – يدي yang bermaksud hak pihak yang terbunuh. Penggunaan perkataan diyat itu sendiri pada asalnya datang dari perkataan wadyun ودي. Huruf و di hadapan perkataan tersebut ditukarkan kepada ه sebelum dipindahkan ke belakang, maka jadilah diyat (دية).
Diyat (الدِّيَاتُ) dari segi istilah dalam kalangan ulama’ Syafi’iyyah adalah: “Harta yang wajib disebabkan perlakuan jenayah terhadap orang yang merdeka baik dalam soal kehilangan nyawa ataupun yang lebih rendah daripadanya.” (Lihat I’anat al-Talibin, 4/138).
Diyat bermaksud sejumlah harta yang diwajibkan dengan perlakuan jenayah terhadap nyawa atau sesuatu yang setaraf dengannya. Al-Arsh pula ialah sejumlah harta yang diwajibkan kadarnya menurut syara’ dengan perlakuan jenayah terhadap apa-apa yang tidak membabitkan nyawa iaitu tidak melibatkan diyat sempurna terhadap mana-mana anggota. Berdasarkan penjelasan ini, diyat diertikan sebagai tebusan nyawa atau sesuatu yang setaraf dengannya sedangkan arsh pula adalah diyat anggota.
Diyat juga dapat difahami sebagai hukuman penggantian yang utama bagi hukuman qisas jika gugur hukuman qisas dengan sebab-sebab yang menggugurkannya ataupun jika pesalah dimaafkan oleh mangsa atau waris.