Adakah rangkaian 5G akan membawa kebaikan kepada ummah?
5G yang merupakan teknologi sambungan tanpa wayar generasi ke-5 ini merupakan lanjutan daripada generasi sebelumnya daripada 1G ke 4G.
Tentunya, 5G mempunyai keupayaan atau perbezaan berbanding teknologi yang sebelumnya.
Hasil gabungan teknologi rangkaian termaju dengan peranti berspesifikasi tinggi terkini, 5G pastinya berkemampuan untuk memberi sambungan yang jauh lebih pantas berbanding dengan apa yang ditawarkan pada ketika ini. Boleh dikatakan, memuat turun purata pada 1Gbps akan menjadi perkara biasa.
Walaubagaimanapun, adakah rangkaian 5G ini akan membawa kebaikan kepada segenap ummah?
Umat Islam seharusnya bersyukur dengan nikmat kemudahan teknologi terutamanya dalam penggunaan media sosial seperti aplikasi Whatsapp, Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya serta memanfaatkannya sebagai medium yang berkesan untuk digunakan bagi mengajar, belajar dan menyeru masyarakat untuk melakukan kebaikan.
Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab kita semua membentuk masyarakat yang berkeupayaan mengawal teknologi, bukannya dikawal dan hanyut dengan teknologi kerana Islam mementingkan kesatuan ummah dalam membina negara yang sejahtera.
Al-Quran banyak menyarankan supaya umat Islam bergiat menggunakan segala ciptaan Allah SWT untuk kegunaan ummah di dalam kehidupan seharian. Firman Allah SWT:
أَلَمْ تَرَوْا۟ أَنَّ ٱللَّهَ سَخَّرَ لَكُم مَّا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ وَأَسْبَغَ عَلَيْكُمْ نِعَمَهُۥ ظَـٰهِرَةًۭ وَبَاطِنَةًۭ ۗ وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يُجَـٰدِلُ فِى ٱللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍۢ وَلَا هُدًۭى وَلَا كِتَـٰبٍۢ مُّنِيرٍۢ ٢٠
“Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi dan telah melimpahkan kepada kamu nikmat-nikmatNya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran,” (Surah Luqman: ayat 20).
Menurut Pakar telekomunikasi, Prof. Dr Tharek Abd Rahman, penukaran model pemerkasaan 5G daripada rangkaian borong tunggal (SWN) kepada dwirangkaian juga mampu meningkatkan lagi kadar penggunaan teknologi internet dalam kalangan pengguna.
“Usaha mewujudkan satu entiti baharu dan menjadikan 5G di Malaysia sebagai dwirangkaian, ia mampu memberikan penawaran yang lebih bukan saja kepada pengguna tetapi penyedia perkhidmatan serta mempercepatkan penggunaan 5G itu sendiri,” terangnya.
Beliau yang juga Profesor Adjung Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berpendapat, teknologi 5G adalah bagi membolehkan teknologi baharu seperti automasi dan kecerdasan buatan (AI) ditingkat terutamanya bagi perindustrian.
Oleh itu, adalah penting sekiranya entiti baharu yang akan datang dapat memfokuskan kepada kawasan perindustrian dan juga kawasan yang masih kurang mendapat liputan.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berpendapat dwirangkaian bakal memberikan lebih banyak kebaikan kepada rakyat dan perniagaan.
Beliau berkata, perkara itu dapaat mengelak daripada aspek harga dan perkhidmatan dimonopoli oleh hanya satu syarikat.
“Perkara ini kelak dapat memberi pilihan yang sesuai dengan kehendak pengguna dan perniagaan lantas persaingan yang sihat antara dua rangkaian meningkatkan mutu perkhidmatan dengan lebih baik,” katanya.
Tambahnya lagi, pengguna juga tidak hanya perlu bergantung kepada hanya satu pembekal sahaja termasuklah aspek kerahsiaan data mereka.
Maka dapatlah disimpulkan bahawa, dengan wujudnya teknologi generasi ke-5 (5G), komunikasi mudah alih melalui inovasi dapatlah dirancakkan dengan lebih lagi di samping mewujudkan industri baharu yang membawa manfaat besar kepada keseluruhan ekonomi negara.
BACA JUGA
GISBH manfaatkan MAPIM Mobile Kitchen bantu ummah di Johor