Adab melupuskan Quran
Oleh wartawan pelatih, Azrina Amri
Mashaf atau sebarang bentuk bahan yang mengandungi teks al-Quran perlu dijaga kesuciannya dengan baik.
Kesucian Al-Quran ini bukan sahaja perlu dijaga semasa proses menyalin atau mencetak malah, ia perlu dipelihara sehingga proses pelupusan.
Justeru itu, menjadi tanggungjawab dan kewajipan untuk setiap umat Islam bagi menjaga dan memuliakan kesucian al-Quran.
Terdapat beberapa kaedah yang telah digariskan oleh para ulama dalam proses pelupusan al-Quran.
Antaranya daripada hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A yang bermaksud:
“Sesungguhnya ‘Uthman bin ‘Affan R.A memerintahkan Zaid bin Thabit, Abdullah bin al-Zubair, Sai’d bin al-‘As dan ‘Abd al-Rahman bin al-Harith bin Hisyam supaya menulis semula dalam bentuk salinan Mushaf yang sempurna, ‘Uthman berkata kepada tiga orang lelaki Quraish: Sekiranya kamu tidak bersetuju dengan Zaid bin Thabit berkaitan sesuatu hal di dalam al-Quran, maka tulislah dalam gaya bahasa Quraish, sesungguhnya al-Quran diturunkan dengan bahasa mereka, lalu mereka melakukannya, sehingga menjadi banyak salinan daripadanya (mushaf), kemudian ‘Uthman memulangkan mushaf yang asal kepada Hafsah, dan dikirim ke seluruh pelusuk dunia, kemudian ‘Uthman memerintahkan supaya segala mashaf selain daripada mashaf yang asal agar dibakar.” Riwayat al-Bukhari
Daripada hadis di atas, bagi menjaga kesucian al-Quran, pengumpulan Al-Quran yang rosak, koyak, yang tidak boleh dibaca dan sebagainya perlulah dilupuskan dengan kaedah pembakaran.
Prosedur pembakaran tersebut perlulah dilakukan di kawasan yang luas, terkawal dan terhindar daripada pandangan orang ramai bagi mengelakkan berlakunya fitnah terhadap kesucian al-Quran.
Teks al-Quran yang dilupuskan hendaklah dibakar secara keseluruhannya tanpa tertinggal mana-mana bahagian yang tidak terbakar.
Bagi barangan lain seperti kaca, plat aluminium dan sebagainya yang mempunyai teks al-Quran perlulah dibersihkan atau dihilangkan tulisannya.
Seterusnya berkenaan dengan abu yang dibakar hendaklah dikumpulkan dan diletakkan ditempat yang selamat seperti ditanam pada tempat yang bersih dan tidak dilalui orang ramai.
Selain itu, debu teks al-Quran juga perlulah dimasukkan ke dalam bekas yang sesuai supaya tidak berterbangan dan ia boleh dibuang ke dalam laut atau sungai yang mengalirkan air.
Kerja pembakaran mashaf dan teks al – Quran ini hendaklah dikendalikan oleh orang Islam, dalam keadaan berwuduk dan menutup aurat.
Dengan itu, kesucian al-Quran hendaklah dilupuskan dengan sebaiknya dibakar di tempat yang bersih kemudian abu atau debunya boleh ditanan atau dihanyutkan ke dalam laut atau sungai yang mengalir.
Ini jelas menunjukkan kalam Allah SWT ini itu perlu dijaga kesucian dan kemuliaanya sehingga ke proses pelupusan.