
KUALA BERANG 23 Mac : Seorang penyelia TASKA bersama anak dan cucu serta empat kanak-kanak jagaannya berdepan detik cemas apabila seorang lelaki bersenjatakan senapang angin memasuki premis itu untuk menyamun.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Khatijah Ali, 58, bersama anak perempuan berusia 29 tahun dan cucu lelakinya berusia dua tahun berada di dapur untuk menyediakan makanan.
Katanya, empat kanak-kanak di bawah jagaannya sedang di ruang tamu.
Ketika berada di sinki untuk menyediakan makanan, beliau dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki memakai topi keledar bertutup muka yang tiba-tiba berada di sebelahnya.
“Lelaki itu mengacukan senapang angin ke dahi saya dan meminta saya menyerahkan duit kepadanya. Dia mengambil beg tangan saya yang berada di kabinet berdekatan. Saya cuba merampasnya sebelum kami bergelut dan lelaki itu melepaskan tembakan yang terkena lantai. Saya melepaskan beg itu selepas lelaki terbabit mengacukan senapang ke arah cucu sebelum melarikan diri menggunakan pintu belakang dengan menaiki sebuah motosikal,” – Khatijah Ali
Mangsa kehilangan barangan kemas dan duit yuran taska sebanyak RM4, 000 yang dilarikan suspek.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Katanya, suspek dipercayai memasuki TASKA berkenaan melalui pintu belakang dan melarikan diri dengan menunggang motosikal Honda EX5.
“Mangsa dan enam kanak-kanak asuhan TASKA itu tidak mengalami kecederaan dan siasatan masih dijalankan. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” – Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu / Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud
“Usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata,”.
– BH Online
Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Kewartawanan Hafeez Anuar