LONDON : Berikutan kebimbangan peningkatan lonjakan kes Covid-19 varian Omicron, sambutan Tahun Baru secara besar-besaran di London dibatalkan.
Datuk Bandar London, Sadiq Khan, pihaknya harus melakukan segala yang mungkin untuk memperlahankan penyebaran varian baharu itu susulan jangkitan tersebut berada pada tahap tinggi di bandar raya itu.
“Ini bermakna kita tidak lagi akan menganjurkan acara sambutan untuk lebih 6,000 orang berhimpun di Dataran Trafalgar pada malam Tahun Baharu seperti sebelum ini.
“Kita perlu mengambil langkah yang betul untuk mengurangkan penyebaran virus ini meskipun ia pasti sangat mengecewakan kebanyakan rakyat London,” katanya.
Bagaimanapun, pihak berkuasa bandar raya London memaklumkan akan ada siaran langsung mengenai acara sambutan Tahun Baharu yang menakjubkan yang disiarkan stesen penyiaran BBC.
Pengumuman juga dibuat oleh Paris bahawa pertunjukan bunga api tahunannya dan acara lain berkaitan sambutan Tahun Baru akan dibatalkan dan ia turut diikuti oleh Jerman yang bercadang untuk menutup kelab malam dan mengehadkan jumlah kehadiran parti persendirian.
Dengan lebih daripada 147,000 kematian ia sekaligus menjadikan United Kingdom memecahkan rekod dengan kadar kes harian Covid-19 sepanjang minggu lalu dan kini berjuang bagi membendung Omicron.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Boris Johnson menentang tekanan pelbagai pihak untuk mengetatkan sekatan pergerakan semasa Hari Krismas hujung minggu ini, dan berikrar untuk memastikan perkara itu sentiasa dalam semakan dan kajian berterusan.
– AGENSI