Ahmedabad – Satu tindakan yang mendiskriminasi Muslim sekali lagi diambil oleh kerajaan India apabila hospital awam diarahkan untuk meletakkan pesakit COVID-19 di wad berasingan berdasarkan agama yang dianuti.
“Secara umumnya wad diasingkan mengikut jantina, tetapi di sini kami mengasingkan wad pesakit Muslim dan pesakit Hindu. Ianya adalah arahan daripada kerajaan sendiri, anda boleh rujuk mereka,” kata Dr. Gunvant H Rathod Superintenden Perubatan di Hospital Awam Ahmedabad dalam satu kenyataan.
Menteri Kesihatan Gujarat Nitin Patel walau bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
“Apa saja yang diperlukan untuk memberi rawatan terbaik kepada orang ramai, itu yang kami sedang lakukan,” ujar beliau.
Jabatan Kesihatan Gujarat juga telah mengeluarkan kenyataan mengenai pengasingan pesakit mengikut pegangan agama sebagai tuduhan yang tidak berasas.
Pesakit ditempatkan di wad yang berbeza berdasarkan tahap kesihatannya, tahap gejala yang dialami dan usia, berdasarkan nasihat doktor yang merawat. Oleh itu, laporan yang muncul di media tertentu sama sekali tidak berasas dan mengelirukan.
– Jabatan Kesihatan Gujarat
Dalam satu laporan akhbar tempatan, seorang pesakit memberitahu seramai 28 orang dari satu komuniti yang sama dipanggil daripada satu wad (A-4) dan diarahkan berpindah ke wad yang lain (C-4). Apabila disoal mengenai tujuan penukaran wad, staf yang bertugas dikatakan memberi alasan ‘untuk keselesaan kedua-dua komuniti’.
Seorang doktor pula memaklumkan pemindahan sementara itu dibuat setelah terdapat aduan daripada pesakit dari golongan majoriti (Hindu) yang dikatakan tidak selesa berada di dalam wad yang sama dengan pesakit dari golongan minoriti (Muslim).
Sentimen Islamofibia sekali lagi timbul apabila penularan wabak COVID-19 dikaitkan dengan perhimpunan jemaah Tabligh hujung Februari lalu yang telah menyebabkan kes positif pertama direkodkan di India. Rakyat India di kalangan ekstrimis Hindu kemudian melemparkan tuduhan kepada kumpulan tabligh dan mendesak kerajaan mengambil tindakan ke atas mereka sebagai suspek jenayah yang sengaja menyebarkan jangkitan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan amaran terhadap kerajaan yang membuat tuduhan ke atas mana-mana pihak sebagai punca penyebaran wabak berkenaan.
Gujarat adalah sebuah negeri yang ditadbir oleh parti pemerintah Bharatiya Janata Party (BJP), sebuah parti di bawah naungan Perdana Menteri India Naredra Modi. Terdahulu, beberapa kenyataan dikeluarkan oleh beberapa ahli BJP berstatus ahli parlimen yang mencetuskan ketegangan apabila mereka menuduh Muslim sebagai penyebar wabak COVID-19 dalam propaganda jihad.
Ahmedabad sebelum ini telah mencatatkan sejarah hitam buat umat Islam apabila berlakunya pembunuhan besar-besaran oleh puak ekstrimis Hindu yang mengorbankan hampir 2,000 nyawa Muslim dan menyebabkan ribuan yang lain kehilangan tempat tinggal.
Serangan berlaku berikutan dari tuduhan ke atas Muslim yang dikatakan penyebab kebakaran di atas sebuah keretapi penumpang yang telah mengorbankan 60 orang penganut Hindu yang sedang dalam perjalanan ke tempat ibadah mereka.
Diskriminasi yang timbul di India kebelakangan ini sering dikaitkan dengan Islam yang dituding sebagai agama yang mendatangkan bahaya sekaligus memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk mengambil tindakan menindas umat Islam di sana.
Dasar ‘apartheid’ moden ini dijangka tidak akan berakhir selagi India berada di bawah pemerintahan parti BJP yang terkenal dengan budaya ketaksuban oleh pengikut-pengikutnya.