MARAN : [VIDEO] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menitahkan semua pihak termasuk mangsa banjir, supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk ketika berada di pusat pemindahan sementara (PPS).
Al-Sultan Abdullah bertitah, walaupun sedang berdepan musibah banjir, mangsa perlu menjaga SOP ditetapkan pihak berkuasa, bagi mengelak berlakunya penularan baharu wabak COVID-19.
Saya ingin nasihat walaupun keadaan ini susah dan ujian kepada kita, tetapi SOP perlu dijaga. Saya bimbang jika kita tidak ikut SOP, akan berlaku penularan COVID-19.” – Al-Sultan Abdullah
“Dalam keadaan banjir ini, khususnya di pusat pemindahan, semua harus patuhi SOP. Saya doakan keadaan di sini terus pulih,” titah Seri Paduka lagi.
Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian ketika mencemar duli mendengar Taklimat Bencana Banjir Daerah Maran dan melawat mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Maran hari ini.
Turut mencemar duli, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Seri Hajah Shahaniza Shamsuddin.
Seramai 361 mangsa daripada 56 keluarga ditempatkan di sekolah itu sejak banjir melanda daerah Maran, Jumaat lalu.
Baginda berdua kemudiannya meninjau keadaan mangsa dan mengurniakan sumbangan kepada semua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara berkenaan.
Baginda juga meminta semua petugas perlu memastikan pengurusan di PPS beroperasi dengan sempurna dan melaksanakan tanggungjawab itu sebaik mungkin.
“Peranan dan tanggungjawab itu adalah satu amanah dan tidak sepatutnya dilakukan secara sambil lewa hingga menyulitkan mangsa banjir.
“Saya harap petugas yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara melakukan tugas mereka dengan baik dan sempurna, lakukan amanah dengan baik,” titah baginda.
Terdahulu, baginda yang memandu sendiri bersama konvoi Istana Negara ketika dalam perjalanan ke pusat pemindahan berkenaan turut meredah laluan di KM113 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) yang masih ditenggelami banjir. – FB Official Istana Negara