Semasa

Wartawan ditembak mati

120 petugas media maut ketika bertugas

Mexico City : Mexico disifatkan antara negara berbahaya di dunia bagi petugas media.

Gelaran itu diberikan susulan kejadian satu pertiga kematian wartawan di negara itu sepanjang tahun ini.

Data yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Perlindungan Wartawan (CPJ), sebuah badan yang menyiasat serangan terhadap media di seluruh negara, melaporkan sembilan wartawan terbunuh di Mexico tahun ini.

Angka itu menjadikan keseluruhan kematian wartawan mencecah 120 orang sejak tahun 2000.

Bulan lalu sahaja, seramai tiga orang wartawan ditembak mati dalam tempoh 10 hari.

Menurut CPJ, data terbaharu itu menunjukkan wartawan di negara itu lebih cenderung dibunuh berbanding mereka yang bertugas di lapangan perang.

Kata CPJ, angka berkenaan sekali gus meletakkan Mexico menduduki kedudukan teratas, negara paling tinggi kematian wartawan di dunia sejak badan itu mula mengesan keganasan terhadap media pada 1992.

“Mexico mengalami krisis pelbagai aspek mengenai kebebasan media.

“Situasi itu semakin buruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini sebelum memuncak pada tahun ini.

“Krisis ini berpunca daripada ‘kekebalan’,” kata wakil CPJ Mexico Jan-Albert Hootsen dipetik dalam portal The Guardian.

Sekurang-kurangnya 90 peratus kes pembunuhan membabitkan wartawan masih belum dapat diselesaikan.

Kebanyakan mangsa sasaran adalah mereka yang menyiasat hubungan jenayah terancang dan pegawai kerajaan yang mengambil rasuah.

Presiden Andres Manuel Loppez Obrador pada tahun 2018 pernah berjanji untuk menangani keganasan terhadap wartawan dan mengakhiri kekebalan terhadap pelaku.

Namun, keadaan semakin buruk malah kerajaan juga melemahkan sistem perlindungan wartawan terancam dan memotong dana untuk penyiasatan kes.

Selepas Mexico, Afghanistan dan Filipina turut merekodkan pembunuhan terbanyak golongan petugas media.

Data CPJ juga mendedahkan, sejak Januari hingga pertengahan bulan ini, sekurang-kurangnya 30 wartawan terbunuh di seluruh negara. – Berita Harian

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button