Semua masjid di Singapura azan sebelum masuk Zohor
Azan dilaungkan pada jam 12:50 tengah hari
SINGAPURA : Bermula Jumaat depan (11 Dis) semua masjid di Singapura akan mula melaungkan azan sebelum masuknya waktu solat Zuhur bagi solat Jumaat.
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengumumkan pelaksanaan itu dan disiarkan dalam laman Facebook MUIS.
Azan akan dilaungkan pada jam 12.50 tengah hari, iaitu pada saat sebelum tergelincirnya matahari.
MUIS menyatakan langkah itu adalah bertujuan memberikan lebih ramai jemaah peluang untuk mendirikan solat Jumaat memandangkan waktu masuk solat Zuhur akan bermula lebih lewat pada minggu-minggu akan datang.
Misalnya bermula 11-19 Disember 2020, waktu masuk solat Zuhur akan bermula antara 1 hingga 1.03 tengah hari.
“Dengan itu, Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa langkah ini dibolehkan untuk memelihara kepentingan dan kesejahteraan masyarakat Islam kita, selaras dengan prinsip Islam kita” – MUIS
Penjelasan mengenai pelaksanaan itu juga dibuat oleh Anggota Bersekutu Jawatankuasa Fatwa, Ustaz Irwan Hadi dalam satu rakaman video.
Pada masa yang sama, MUIS mengingatkan masyarakat Muslim Singapura bahawa penyesuaian baru itu hanyalah untuk mereka yang mendirikan solat Jumaat di masjid.
Mereka yang mendirikan solat Zuhur di rumah atau di mana-mana sahaja, perlu mengikuti waktu solat Zuhur seperti biasa.
Pengumuman MUIS itu turut disampaikan dalam khutbah Jumaat lalu (4 Dis) yang menyatakan keputusan tersebut adalah keputusan yang telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Fatwa Singapura.
“Ia bagi menjamin ruang serta peluang yang mencukupi bagi beberapa ramai mungkin jemaah untuk melaksanakan solat Jumaat, secara selamat dengan menjaga langkah-langkah keselamatan,” menurut teks khutbah hari ini.
Masjid-masjid kini mengadakan dua atau tiga sesi untuk solat Jumaat dengan setiap satu sesi disediakan dua atau tiga zon berbeza.
Penyesuaian baru itu disebabkan oleh pandemik COVID-19.
Penyampaian khutbah itu juga menyatakan keputusan Jawatankuasa Fatwa Singapura bagi melaungkan azan sebelum masuknya waktu solat Zuhur bukan “suatu perkara yang baru” – MUIS
Mengambil sandaran daripada hadis riwayat Imam Muslim, amalan tersebut pernah dilakukan pada zaman Rasulullah di mana Rasulullah pernah mengawalkan solat Jumaat ketika ada keperluan tertentu. Â – BERITAmediacorp