
Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) melaporkan hampir 600 kanak-kanak terbunuh dalam serangan Israel di Gaza sejak 18 Mac lalu. Memetik data daripada agensi kanak-kanak PBB (UNICEF), UNRWA juga berkata lebih 1,600 kanak-kanak lain cedera dalam tempoh yang sama.
“Krisis kemanusiaan di Gaza kini mungkin berada pada tahap paling teruk sejak Oktober 2023,” kata UNRWA. Tentera Israel meneruskan serangan mautnya ke atas Gaza sejak 18 Mac, membunuh 1,864 orang dan mencederakan hampir 4,900 individu, walaupun perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan telah dicapai pada Januari.
Sejak Oktober 2023, lebih 51,200 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah terbunuh akibat serangan Israel. Pada November 2024, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan. Israel juga berdepan dengan kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung konflik di Gaza.
Sumber: Anadolu Agency (AA)