
Kuala Lumpur, 17 Mac – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengecam sekeras-kerasnya 2 serangan udara kejam oleh rejim Israel di Beit Lahiya, utara Gaza, pada hari Sabtu, 15 Mac, yang telah meragut nyawa lapan petugas lapangan MAPIM. Serangan tersebut berlaku pada jam 1:30 petang waktu Gaza ketika para petugas sedang mendirikan khemah untuk menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat genosid berterusan oleh rejim. Serangan ini disifatkan sebagai jenayah perang yang sangat keji dan tidak berperikemanusiaan.
“Tindakan menyerang orang awam yang sedang menjalankan tugas kemanusiaan adalah jenayah paling keji dan terkutuk. MAPIM mengutuk sekeras-kerasnya jenayah perang ini dan menyeru rakyat Malaysia untuk mengadakan doa Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan saudara-saudara kita di Gaza,” kata Ketua Aktivis MAPIM, Dato’ Sani Araby dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Beliau turut menyatakan bahawa MAPIM dan rakan rasminya, Al-Khair Foundation, amat terkejut dan berdukacita dengan tragedi ini yang telah meragut nyawa beberapa petugas kemanusiaan lapangan termasuk 3 darinya adalah pasukan media yang berdedikasi dalam menjalankan misi kemanusiaan. “Serangan ini bukan sahaja mengorbankan nyawa yang tidak berdosa, tetapi turut menjejaskan operasi kemanusiaan penting di Gaza. MAPIM kehilangan beberapa petugas yang sangat komited dan ikhlas berkhidmat, termasuk seorang rakan media yang sangat rapat dengan saya,” tambah Dato’ Sani Araby dengan nada penuh emosi.
Lapan petugas kemanusiaan yang terkorban telah dikenalpasti sebagai:
1. Mahmoud Yahya Al-Sarraj
2. Bilal Hossam Oqeila
3. Mahmoud Samir Oselim
4. Mahmoud Khaled Oselim
5. Mohammed Al-Ghafeer
6. Hazem Ghareeb
7. Bilal Abu Matar
8. Ahmad Hamad
Serangan berlaku ketika para petugas sedang mendirikan khemah bagi menempatkan keluarga pelarian yang kehilangan tempat tinggal akibat perang di Gaza. Setakat ini 1000 Khemah telah berjaya didirikan dan bertujuan untuk menyediakan perlindungan sementara kepada mangsa yang kehilangan rumah akibat pengeboman tanpa henti di Gaza.
“MAPIM tetap teguh dengan komitmen dalam melaksanakan kerja-kerja kemanusiaan di Gaza, walaupun berdepan dengan pelbagai risiko dan cabaran. MAPIM menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu hati, memperbanyakkan doa dan menyatakan solidariti bersama saudara-saudara kita di Palestin,” tegas Dato’ Sani Araby.
MAPIM turut menegaskan bahawa serangan ini adalah satu pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva, yang melindungi hak penduduk awam di kawasan perang. MAPIM menggesa masyarakat antarabangsa untuk bertindak segera menghentikan keganasan ini dan memastikan keadilan ditegakkan untuk mangsa yang terkorban serta keluarga mereka.
Selain itu, MAPIM menyeru seluruh dunia untuk mengecam tindakan kejam ini tanpa kompromi. “Ini bukan sekadar serangan ke atas Gaza – ia adalah serangan ke atas kemanusiaan. Kami menggesa para pemimpin dunia, organisasi kemanusiaan, dan masyarakat sivil untuk bersatu mengecam jenayah kejam ini dan menuntut pertanggungjawaban daripada pihak yang bertanggungjawab,” tegas Dato’ Sani Araby.
“Kita tidak boleh berdiam diri ketika nyawa orang yang tidak berdosa diragut dengan kejam. Masyarakat antarabangsa mesti tampil ke hadapan dan memastikan keadilan ditegakkan. Serangan ini adalah satu serangan langsung terhadap maruah manusia dan keamanan dunia,” tambah beliau.