PalestinSemasa

Serangan Drone Israel Tewaskan Rakyat Palestin, Langgar Gencatan Senjata

Dua rakyat Palestin terbunuh dan tiga lagi cedera akibat tembakan tentera Israel di selatan Gaza pada Isnin, dalam pelanggaran terbaru terhadap perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan, menurut pegawai perubatan.

Sumber perubatan menyatakan bahawa dua orang terkorban dalam serangan drone di tengah bandar Rafah, selatan Gaza. Manakala tiga yang lain cedera akibat serangan peluru berpandu di barat Khan Younis, selatan Gaza.

Tentera Israel telah meningkatkan serangan di seluruh Gaza sejak Ahad, sejurus selepas tamatnya fasa pertama perjanjian gencatan senjata. Empat rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dalam serangan serupa oleh Israel di Gaza pada Ahad.

Kerajaan Israel juga menghentikan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza pada Ahad ekoran keengganan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk memulakan rundingan mengenai fasa kedua perjanjian gencatan senjata.

Perjanjian tersebut sebelum ini berjaya menghentikan sementara peperangan yang dilancarkan Israel ke atas Gaza, yang telah mengorbankan lebih daripada 48,380 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta meninggalkan kawasan itu dalam keadaan musnah.

Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Gaza.

Selain itu, Israel juga berhadapan dengan kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ekoran peperangan yang dilancarkan ke atas wilayah tersebut.

SUMBER: AA

Related Articles

Back to top button