Malaysia akan mencatat sejarah sebagai negara pertama di ASEAN yang membangunkan Bandar Wakaf di Gaza melalui Projek Bandar Wakaf Malaysia-Gaza. Inisiatif ini, yang bertujuan bukan hanya untuk memberikan bantuan, tetapi juga sebagai model pembangunan wakaf pertama Malaysia di Palestin, dijangka menjadi contoh global dalam pembangunan berasaskan wakaf.
Datuk Sani Araby, Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia dan Pengasas Projek Bandar Wakaf Malaysia-Gaza, menjelaskan bahawa projek ini menggambarkan solidariti Malaysia yang melibatkan pelbagai bangsa dan agama dalam usaha membina semula Gaza. Menurutnya, projek ini dijangka memerlukan belanja sekitar RM120 juta, dengan tanah wakaf seluas 87 ekar yang telah dipersetujui di Gaza pada Februari 2023.
Setakat ini, pihak sekretariat projek telah menerima wakaf bernilai RM40 juta, dan pelancaran rasmi projek ini dijangka diumumkan dalam masa terdekat. Ia dijangka menjadi peristiwa penting dalam hubungan diplomatik dan kemanusiaan Malaysia-Palestin.
Projek Bandar Wakaf Malaysia-Gaza ini juga seiring dengan agenda Malaysia MADANI yang menekankan kepedulian terhadap isu-isu global, terutama dalam memperjuangkan hak asasi manusia dan keadilan di Palestin. Di bawah naungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, projek ini akan dilaksanakan selepas bulan Ramadan dan merupakan simbol solidariti Malaysia terhadap rakyat Palestin.
Pembangunan ini akan melibatkan pembinaan 14 blok apartmen wakaf yang mewakili setiap negeri di Malaysia, sebuah masjid yang mirip dengan Masjid Shah Alam, sebuah sekolah Malaysia, taman rekreasi, 56 premis perniagaan di bawah program Mikro-Kredit Khardul Hasan, klinik kesihatan, serta menara tangki air, membentuk ekosistem pembangunan yang lengkap dan mampan.
Komponen utama pembangunan ini termasuk Masjid Berkembar Shah Alam, Apartmen Wakaf Selangor, dan Menara Tangki Air yang diwakafkan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Selain itu, Sekolah Malaysia di Gaza ditaja oleh Cinta Gaza Malaysia (CGM), dengan Muhammad Nadir Al-Nuri yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah Projek.
JAKIM dan Yayasan Wakaf Malaysia turut terlibat dalam menaja Malaysia Central Kitchen dan Apartmen Wakaf Putrajaya sebagai pusat makanan komuniti bagi membantu menyediakan bantuan harian kepada penduduk Gaza. Selain itu, kerajaan negeri lain seperti Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Melaka, dan Pulau Pinang juga telah bersetuju untuk menyertai inisiatif ini.
Projek ini mendapat perkenan Sultan Selangor yang melancarkan Tabung Pembangunan Ihsan Selangor-Gaza pada Mac 2024, serta sokongan daripada kerajaan negeri dan agensi kerajaan lain yang berkomitmen untuk merealisasikan pembangunan ini.