DTandoor Group Meterai Perjanjian dengan Mashariq Almasiah di Persidangan Haji Jeddah
JEDDAH, 16 Januari 2025 – Syarikat pembekalan makanan Malaysia, DTandoor Group of Companies, telah memeterai Memorandum Perjanjian (MOA) bersama syarikat pengelola Haji tunggal yang dilantik oleh Tabung Haji, Mashariq Almasiah, sempena Persidangan dan Pameran Haji yang berlangsung di Jeddah semalam.
Majlis yang diadakan di Pavilion Mashariq Almasiah turut disaksikan oleh Chairman dan CEO Mashariq Almasiah, Ali Hussain Albondagjy, Pengerusi DTandoor Group, Dato’ Seri Haji Abdul Malek, dan Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Jeddah, Encik Faizalkhan Jaafar.
Dengan inovasi dalam penyediaan makanan retort yang lebih sihat dan berkualiti tinggi, DTandoor Group sekali lagi diberi kepercayaan untuk mengetuai pengurusan sajian kepada jemaah haji Malaysia. Perjanjian ini juga membuka peluang kepada syarikat tersebut untuk memperkenalkan penyelesaian makanan terbaik mereka kepada jemaah dari negara-negara lain pada masa akan datang.
Bukan Sekadar Sajian, Tapi Amanah Menyantuni Tetamu Allah
Menurut Dato’ Seri Haji Abdul Malek, amanah yang diberikan kepada DTandoor Group adalah tanggungjawab besar yang dipikul dengan penuh kesungguhan.
“Pihak DTandoor melihat tanggungjawab ini bukan sekadar menyediakan makanan, tetapi sebagai amanah untuk menyantuni tetamu Allah dengan sajian yang sedap, sihat, halal dan toyyib. Sajian yang sesuai dengan lidah jemaah haji Malaysia adalah perkara yang amat penting, kerana ia memberi keselesaan dan tenaga untuk mereka menunaikan ibadah dengan lebih sempurna. Kami memikul amanah ini dengan rasa syukur dan tanggungjawab yang tinggi,” katanya.
Turut hadir menyaksikan adalah Pesuruhjaya Kehormat (PA) Dato’ Sani Araby Dato’ Abdul Alim Araby, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang juga merupakan Penasihat Lembaga Pengarah Kumpulan DTandoor. Beliau menyatakan, “Peluang ini adalah ruang besar untuk Malaysia menjadi peneraju sajian terbaik dunia dengan teknologi dan inovasi yang diberikan dengan standard yang tinggi. Kami yakin produk Malaysia mampu bersaing di peringkat antarabangsa dan memenuhi keperluan jemaah dengan lebih berkesan.”
Kepercayaan Tabung Haji dan Mashariq
Mashariq Almasiah, sebagai syarikat pengelola utama yang dilantik oleh Tabung Haji, melihat penyelesaian yang ditawarkan oleh DTandoor Group bukan sekadar memenuhi keperluan logistik, tetapi juga sebagai satu langkah ke hadapan dalam penyediaan makanan berkualiti tinggi untuk jemaah.
Kerjasama ini turut mencerminkan dedikasi Malaysia dalam menyokong pelaksanaan ibadah haji dengan lebih efisien melalui produk dan perkhidmatan terbaik.
Harapan Masa Depan
DTandoor Group kini bersedia untuk terus membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa, dengan matlamat menjadikan produk tempatan pilihan utama di kalangan jemaah dari seluruh dunia. Perkongsian strategik dengan Mashariq Almasiah ini diharap akan memperkukuhkan lagi kehadiran Malaysia dalam sektor pengurusan haji global.