PalestinSemasa

Peluncuran Buku “End of Zionism and Downfall of Israel Warnai Majlis Countdown 2025

Kuala Lumpur – Majlis Countdown 2025 dan Peluncuran Buku anjuran MAPIM Malaysia bersama Sekretariat Kebangkitan Nusantara Sejahtera (SKNS), ABIM, dan OASIS Outreach berlangsung dengan penuh bermakna di OASIS Outreach, Bukit Bintang. Acara ini diserikan dengan pelancaran buku “End of Zionism and Downfall of Israel” oleh Presiden MAPIM, Cikgu Mohd Azmi Abdul Hamid, yang menjadi fokus utama majlis tersebut.

Buku ini membawa wacana penting berkaitan isu global, menyoroti aspek sejarah, geopolitik, dan analisis mengenai penurunan pengaruh Zionisme serta implikasinya terhadap keamanan dunia. Dengan kandungan yang padat, ia menjadi panggilan kepada masyarakat dunia untuk memahami realiti yang melingkari perjuangan kemanusiaan, khususnya di Palestin.

Ketika menyampaikan ucapannya, Cikgu Mohd Azmi menekankan bahawa buku ini bukan sekadar sebuah karya akademik, tetapi juga seruan moral untuk bertindak. “Buku ini adalah dokumen penting untuk memahami bagaimana Zionisme telah mencengkam dunia, namun ia juga membawa mesej harapan bahawa era penindasan itu akan berakhir. Kami menyeru semua pihak untuk bersatu dalam usaha menegakkan keadilan dan keamanan sejagat,” katanya.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran, diikuti dengan Bicara Khas bertajuk “Iltizam 2025 – Membangkit Kesedaran dan Mengislah Umat” oleh Datuk Dr Muhammad Nur Manuty, Pengerusi IKIM, dan Cikgu Mohd Azmi sendiri. Bicara ini menekankan peranan masyarakat dalam mendukung usaha kemanusiaan dan keadilan sejagat.

Antara tokoh yang hadir dan memberikan ucapan perasmian pelancaran buku adalah Datuk Seri Ustaz Ahmad Awang, Dr Habib Reza Arzani, dan YBhg Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.

Selain peluncuran buku, kempen “2025 – Tahun Kemanusiaan dan Keamanan” turut dilancarkan, menandakan azam kolektif untuk memperkukuhkan solidariti global demi mencapai keamanan sejagat.

Majlis ini berjaya menarik kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk tokoh komuniti, badan bukan kerajaan, dan wakil media. Acara diakhiri dengan sesi sidang media dan jamuan tengah hari, melambangkan peneguhan komitmen bersama ke arah perubahan yang lebih baik.

Buku “End of Zionism and Downfall of Israel” kini dilihat sebagai karya penting yang relevan dalam menyokong usaha membela hak asasi manusia dan keadilan antarabangsa.

Related Articles

Back to top button