Pemimpin pembangkang Israel menuduh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sengaja menggagalkan rundingan untuk mencapai gencatan senjata di Gaza dan perjanjian pertukaran tahanan dengan Hamas. Tuduhan ini timbul ketika serangan ke atas Gaza yang dilancarkan Israel sejak Oktober 2023 terus memakan korban jiwa, dengan lebih 45,200 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, dilaporkan terbunuh.
Yair Lapid, ketua Parti Yesh Atid dan bekas perdana menteri Israel, mendakwa kerajaan Netanyahu mengenakan syarat baharu yang menghalang kemajuan rundingan untuk membawa pulang lebih 100 tahanan Israel yang berada dalam tahanan Hamas. Menurut Lapid, Netanyahu bimbang penamatan perang akan menggugat kedudukannya sebagai perdana menteri.
“Netanyahu meletakkan kepentingan politik di atas keselamatan Israel dan kepulangan tebusan,” katanya dalam temu bual dengan penyiar awam KAN. Lapid turut menggesa agar perang dihentikan dan perjanjian pertukaran tahanan segera dimuktamadkan.
Bekas menteri pertahanan Avigdor Lieberman turut mengkritik kerajaan Israel kerana gagal mencapai persetujuan dengan Hamas. Beliau mendakwa perjanjian itu sebenarnya boleh dicapai jika kerajaan benar-benar serius dalam rundingan.
Media Israel sebelum ini melaporkan terdapat kemajuan dalam perbincangan tidak langsung dengan Hamas, namun sehingga kini gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan masih belum tercapai.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) baru-baru ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan kemanusiaan di Gaza. Selain itu, Israel juga berdepan kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berikutan tindakan ketenteraannya di wilayah tersebut.
Sumber: TRTWorld dan agensi