Semasa

Inisiatif Mobile Clinic MAPIM Mudahkan Masyarakat Kampung Bukit Dapatkan Pemeriksaan Kesihatan Percuma

Inisiatif Mobile Clinic MAPIM terus memberi impak positif kepada masyarakat apabila lebih 70 penduduk Kampung Bukit, kebanyakannya warga emas, memanfaatkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma yang diadakan di Masjid Jamik Raudhatus Solihin di sini, hari ini.

Jururawat Cherish Chin merawat Azmi bin Omar

Penduduk kampung, Azmi bin Omar, meluahkan rasa gembira dengan kemudahan yang disediakan oleh Mobile Clinic MAPIM-MAIWP, yang menurutnya memudahkan beliau menjalani pemeriksaan kesihatan berkala tanpa perlu berulang-alik ke bandar.

“Saya amat bersyukur dengan usaha ini. Perkhidmatan seperti ini benar-benar membantu kami, lebih-lebih lagi bagi warga emas seperti saya yang kurang upaya untuk keluar jauh,” katanya ketika ditemui.

Adam bin Awang sedang dirawat doktor Siti Khadijah binti Ismail

Sementara itu, Adam bin Awang, yang mengalami masalah batuk berpanjangan dan kurang selera makan, menyifatkan rawatan yang diterima sebagai sangat profesional dan berkesan.

“Saya merasa selesa dengan cara petugas melayan kami. Mereka bukan sahaja mesra, tetapi juga memberi penerangan yang jelas tentang rawatan yang diberikan,” ujarnya.

Mobile Clinic MAPIM-MAIWP adalah salah satu program kemasyarakatan hasil kerjasama strategik antara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan MAPIM Malaysia, bertujuan mendekati komuniti dengan menyediakan perkhidmatan kesihatan secara percuma.

Penduduk setempat berharap program ini diteruskan dan diperluaskan ke lebih banyak lokasi pedalaman, sekali gus memastikan lebih ramai golongan memerlukan mendapat akses kepada rawatan perubatan yang berkualiti.

Related Articles

Back to top button