Aktiviti rewang yang dijalankan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chabang Empat menjadi momen bermakna dalam usaha membantu mangsa banjir dan mengeratkan silaturahim sesama komuniti.
Menerusi inisiatif oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), seekor lembu telah disumbangkan untuk menyediakan makanan tengah hari dan malam kepada lebih 1,000 mangsa banjir di PPS tersebut. Selain itu, MAPIM juga menyumbangkan kotak makanan asas dan hygiene kit yang mengandungi keperluan asas seperti sabun, tuala wanita, dan produk sanitasi untuk membantu meringankan beban mangsa banjir.
Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia, Dato’ Sani Araby, turut hadir memeriahkan suasana bersama penyanyi terkenal, Faizal Tahir. Kehadiran mereka bukan sahaja menyemarakkan semangat komuniti, malah menceriakan mangsa banjir yang terkesan akibat bencana ini.
“Rewang seperti ini bukan sekadar memasak, tetapi ia adalah simbol kekuatan gotong-royong yang dapat menyatukan kita dalam waktu sukar. Kami bersyukur dapat menyumbang kepada keperluan mangsa banjir di sini,” kata Dato’ Sani Araby.
Faizal Tahir, yang sering terlibat dalam kerja-kerja kemanusiaan, menyatakan keterujaannya dapat bersama komuniti dalam aktiviti ini apabila semua orang berganding bahu memasak dan berkongsi semangat positif dan ia sangat menginspirasikan. Beliau berbesar hati dapat bersama-sama menjayakan aktiviti ini.
ZUS Coffee juga telah menaja bantuan bagi menyokong mangsa banjir di PPS tersebut. Ini adalah bukti kerjasama antara masyarakat dan organisasi dalam memberi sokongan kepada mereka yang terjejas.
Aktiviti rewang ini juga menjadi peluang untuk mangsa banjir melupakan seketika kesusahan yang mereka hadapi sambil menikmati juadah hasil usaha bersama. Keprihatinan MAPIM, ZUS Coffee, dan sokongan masyarakat tempatan menjadi bukti bahawa semangat kebersamaan mampu meringankan beban mereka yang memerlukan.
PPS SMK Chabang Empat kini menempatkan lebih 1,000 mangsa banjir dari kawasan sekitar. Aktiviti seumpama ini diharapkan dapat diteruskan bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara sepanjang tempoh pemindahan.