Dana mahsul (sovereign wealth fund) negara Norway, yang merupakan dana terbesar di dunia dengan nilai $1.8 trilion, telah menjual semua sahamnya dalam syarikat telekomunikasi Israel, Bezeq, disebabkan penglibatan syarikat itu dalam menyediakan perkhidmatan kepada penempatan haram Israel di Tebing Barat yang diduduki.
Langkah itu diambil selepas Council on Ethics, badan pemantau etika dana, menguatkuasakan tafsiran lebih tegas mengenai pelanggaran etika yang berkaitan dengan operasi perniagaan di wilayah Palestin yang diduduki.
Menurut badan pemantau, Bezeq didapati “membantu penyelenggaraan dan pengembangan penempatan haram Israel melalui kehadiran fizikal dan penyediaan perkhidmatan telekomunikasi.” Penempatan tersebut dianggap menyalahi undang-undang di bawah undang-undang antarabangsa.
Meskipun syarikat itu juga menyediakan perkhidmatan telekomunikasi kepada kawasan Palestin, fakta itu tidak mencukupi untuk menafikan penglibatannya dalam menyokong penempatan haram Israel, menurut kenyataan rasmi badan pemantau.
Bezeq, syarikat telekomunikasi terbesar di Israel, belum memberi sebarang komen terhadap keputusan ini.
Sebelum ini, dana Norway telah mengurangkan pegangan sahamnya dalam Bezeq pada separuh pertama tahun 2024, daripada 2.2% kepada 0.76%, dengan nilai sekitar $23.7 juta. Penghapusan penuh saham diumumkan baru-baru ini selepas pertimbangan lanjut mengenai piawaian etika.
Keputusan ini juga didorong oleh pandangan Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada Julai 2024, yang mengisytiharkan pendudukan Israel dan dasar penempatannya bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.
Sejak perang Gaza bermula pada Oktober 2023, badan pemantau dana telah menyiasat lebih banyak syarikat yang mungkin melanggar garis panduan pelaburan. Sebelum pengumuman ini, dana Norway telah melupuskan sembilan syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti berkaitan penempatan haram, termasuk pembinaan jalan, rumah, dan sistem pengawasan.
Keputusan dana mahsul Norway menegaskan komitmennya terhadap pelaburan yang mematuhi prinsip alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG), yang menjadi teras strateginya di peringkat global.
Sumber: Reuters