KAJANG : Pagi Jumaat yang mulia, seawal jam 7:00 pagi aktivis Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, MAPIM Malaysia bersiap sedia menunaikan hajat seorang dermawan bergelar Dato’ Seri.
Aktivis diketuai oleh Pengarah Domestik MAPIM, Haji Faris Hussain, dengan sekumpulan lapan anggota menyantuni barisan hadapan serta komuniti sekitar kawasan Bandar Bukit Mahkota-Bandar Seri Putra, Kajang.
Memenuhi hajat mereka yang ingin bersedekah, sejumlah 200 pek `Nasi Lemak Ustazah’ diagihkan oleh MAPIM.
Pertamanya hajat disampaikan kepada barisan hadapan di Sekatan Jalan Raya, SJR, Plaza Tol Putra Mahkota.
“Lepas juga sarapan pagi ini panas-panas lagi,” kata mereka.
Niat murni dermawan yang cukup terkenal ini kemudian dipanjangkan kepada barisan hadapan yang bertugas di Klinik Kesihatan Bandar Seri Putra pula.
Haluan aktivis seterusnya ialah menyantuni anggota polis yang bertugas di Balai Polis Bandar Seri Putra.
Kepada dermawan itu, ini saja ucapan di bibir mereka, “Terima kasih tidak terhingga” bak kata pepatah – orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa!
Para aktivis yang sudah mangli dengan aturan kerja tidak tentu masa tetapi sedia berkhidmat bila-bila masa, tersenyum puas apabila hajat orang terlaksana.
Ketika masih ada nasi lemak berbaki, rezeki itu dikongsi pula kepada masyarakat di sekitar komuniti ini yang mula meninggalkan kawasan rumah untuk menjalani tugas masing-masing.
Tidak lupa juga pekerja pembersihan yang berpagi-pagian mencari rezeki Illahi, mereka tersenyum menerima pemberian kecil seikhlas hati.
Keceriaan dan rasa syukur atas pemberian terpancar di raut wajah mereka.
“Terima kasih”, pelat Bahasa Melayu mengikut negeri asal mereka.
Mungkin biasa atau kecil bagi kita, tapi cukup besar buat mereka yang bekerja dalam keadaan menangani kekotoran, terik panas dan hujan serta berjauhan daripada keluarga.
Bukan sahaja mencari dana bagi membantu mereka yang terkesan pelbagai bencana, kesempitan hidup, dan krisis kemanusiaan, MAPIM Malaysia juga bertindak sebagai pemudah cara kepada dermawan yang ingin dibantu untuk menunaikan hajat mereka.
Kerjasama dengan MAPIM seperti menyelaras pengagihan berstruktur telah sekian lama dijalankan MAPIM.
Malah MAPIM sentiasa bersedia menerima mana-mana badan NGO atau agensi kerajaan waima syarikat yang ingin mendapatkan khidmat dalam proses membantu ummah dan masyarakat Malaysia, amnya.
*2 KAEDAH UNTUK MENYUMBANG KE TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
MAPIM Malaysia menjemput sahabat penderma budiman untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang diuji dengan bencana dan kemiskinan di dalam dan luar negara dengan hanya RM200, RM300, RM500, RM3,000 & RM5,000 untuk bekalan bantuan makanan serta khidmat Ummah Mobile Clinic serta bantuan khidmat lain. Sumbangan boleh dibuat melalui:
WWW.BANTUUMMAH.COM
ATAU
menerusi Akaun Maybank
TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
562263-540066