KesihatanSemasa

Akses Kesihatan untuk Semua: Program Double Decker Mobile Clinic MAIWP- MAPIM di Masjid Abu Ubaidah

Kuala Lumpur – Program Double Decker Mobile Clinic anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) – MAPIM Malaysia meneruskan usaha membantu masyarakat setempat dengan menyediakan rawatan kesihatan secara percuma di Masjid Abu Ubaidah Al Jarah, Taman Sri Rampai. Program yang berlangsung hari ini menyaksikan kehadiran seramai 63 orang penerima manfaat, terdiri daripada penduduk tempatan yang berpeluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan khidmat nasihat percuma berkaitan gaya hidup sihat.

Program Mobile Clinic yang dijalankan melalui bas Double Decker ini bertujuan untuk memastikan akses kesihatan lebih menyeluruh kepada komuniti yang memerlukan, terutama golongan yang mungkin berhadapan kekangan kewangan atau kesukaran untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan tetap. Sepanjang program, pelbagai perkhidmatan kesihatan ditawarkan, termasuk pemeriksaan tekanan darah, paras gula dalam darah, dan khidmat nasihat pemakanan. Selain itu, ubat-ubatan asas dan suplemen seperti vitamin turut disediakan secara percuma bagi menampung keperluan kesihatan harian penerima manfaat.

Megat Ayub Megat Wahid, 67, salah seorang penduduk yang menerima rawatan, menyuarakan kegembiraan atas inisiatif tersebut.

“Saya sangat bersyukur kerana berpeluang menerima rawatan percuma di sini. Sepanjang berada di Mobile Clinic, saya mendapat nasihat mengenai rutin pemakanan dan diberi vitamin B Komplex untuk memperbaiki keperluan nutrisi harian saya,” katanya.

Program ini merupakan salah satu usaha berterusan MAPIM Malaysia dalam mendekatkan khidmat kesihatan kepada masyarakat, khususnya di kawasan bandar dan luar bandar yang mungkin terpinggir. Dengan sokongan pelbagai pihak, Mobile Clinic dijangka akan meneruskan perjalanan ke lokasi-lokasi lain di sekitar negara untuk memberi manfaat kepada lebih ramai komuniti yang memerlukan.

Related Articles

Back to top button