InspirasiSemasaSukan

Extreme Jam 2024: Sukan Ekstrem dan Bantuan Asnaf Meriahkan Jelajah Peduli Ummah

BUKIT KIARA, 19 Oktober 2024 – Program Extreme Jam 2024 yang diadakan di Skatepark Bukit Kiara berjaya menarik perhatian ramai dengan gabungan acara sukan ekstrem dan inisiatif bantuan kepada golongan asnaf. Acara yang merupakan sebahagian daripada Jelajah Peduli Ummah ini, bukan sahaja mempromosikan sukan skateboard dan BMX, tetapi juga menyantuni golongan memerlukan melalui pelbagai aktiviti sosial.

Salah satu peserta yang menyertai pertandingan sukan ekstrem oleh Extreme Jam 2024

Pertandingan skateboard dan BMX yang diadakan menjadi tumpuan utama, dengan penyertaan daripada golongan belia tempatan. Selain itu, satu klinik asas skateboarding telah diadakan khas untuk golongan asnaf, di mana mereka diberi peluang untuk mempelajari teknik asas sukan tersebut. Klinik ini dibimbing oleh pengajar berpengalaman, memberikan pendedahan serta meningkatkan keyakinan diri peserta, khususnya anak-anak asnaf.

100 kotak bantuan mengandungi pek kebersihan dan kalkulator saintifik diserahkan kepada peserta asnaf

Tidak hanya memfokuskan kepada sukan, bantuan kepada asnaf turut menjadi elemen penting dalam acara ini. Sebanyak 200 pek makanan panas (hotmeal) disediakan oleh dapur bergerak Mobile Kitchen untuk semua yang hadir, manakala 100 kotak bantuan mengandungi pek kebersihan dan kalkulator saintifik diserahkan kepada peserta asnaf. Penyerahan bantuan ini dilaksanakan oleh Naib Presiden MAPIM, Tuan Zulhanis Zainol, bersama Ahli Lembaga Pengarah Zus Coffee, Ms. Stefy.

Selain itu, Mobile Clinic MAPIM-MAIWP turut menyediakan perkhidmatan rawatan percuma kepada peserta dan pengunjung, manakala Zus Coffee, sebagai penaja utama acara, mengedarkan air mineral dan kopi percuma kepada semua yang hadir.

Penyerahan cek simbolik bernilai RM30,000 kepada Patriot Skateboarding Club, sumbangan ini adalah hasil kerjasama penaja utama, MAPIM Malaysia dan Zus Coffee

Acara penutup Extreme Jam 2024 diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Kementerian Belia dan Sukan (KBS), YB Adam Adli. Beliau turut menyaksikan penyerahan cek simbolik bernilai RM30,000 kepada Patriot Skateboarding Club. Sumbangan ini adalah hasil kerjasama penaja utama, MAPIM, dan Zus Coffee, untuk menyokong dan memperkasa belia dalam sukan ekstrem dalam komuniti Bukit Kiara.

Timbalan Menteri Kementerian Belia dan Sukan (KBS), YB Adam Adli, mendapatkan saringan kesihatan percuma yang disediakan oleh sukarelawan Mobile Clinic MAIWP-MAPIM

Program Jelajah Peduli Ummah ini kini memasuki tahun ketujuh penganjurannya, hasil usaha sama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), dan Zus Coffee. Jelajah ini dijadualkan berlangsung sehingga Februari 2025, dengan pelbagai inisiatif yang dirancang untuk membantu mereka yang memerlukan serta menyokong komuniti di seluruh negara.

Related Articles

Back to top button