Nas Daily Tinggalkan Instagram Selepas Pertembungan dengan Aktivis Pro-Palestin di Tokyo
TOKYO – Pempengaruh kelahiran Israel, Nas Daily, atau nama sebenarnya Nuseir Yassin, mengumumkan akan meninggalkan platform Instagram buat sementara waktu selepas terlibat dalam satu insiden dengan aktivis pro-Palestin di Jepun.
Kejadian berlaku ketika Nas Daily mengadakan pertemuan dengan pengikutnya di Tokyo, yang kemudiannya dihadiri oleh sekumpulan penunjuk perasaan yang menyuarakan sokongan terhadap Palestin. Kumpulan tersebut menyuarakan kepada Nas untuk menukar pendiriannya berkaitan Israel-Palestin, sambil menolak sebarang bentuk normalisasi penjajahan Israel.
Salah satu mesej yang dipamerkan oleh para aktivis itu berbunyi, “Tokyo berdiri bersama Palestin: Zionis dan normalisasi tak dialu-alukan di sini,” menandakan penolakan mereka terhadap kehadiran Nas.
Protes tersebut dikatakan menjadi salah satu sebab utama mengapa Nas Daily akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan Instagram. Beliau menyatakan bahawa semua perbincangan politiknya akan dipindahkan ke platform X (sebelumnya dikenali sebagai Twitter), di mana beliau akan menggunakan nama penuh, Nuseir Yassin.
I am excited to announce that I had my first Free Palestine protest come to a Nas Daily meetup.
I told them I agreed with them. I also want a Free Palestine from Hamas. Free Palestine from terrorism. Free Palestine from radical religion.
They disagreed. They just wanted a Free… pic.twitter.com/OYuA9eRLNH
— Nuseir Yassin (@nasdaily) October 13, 2024
Dalam satu hantaran di X, Nas turut menjelaskan pendiriannya bahawa beliau menyokong Palestin merdeka, tetapi juga menekankan hasratnya untuk melihat Palestin dibebaskan daripada Hamas, keganasan, dan radikalisme.
Walaupun beliau cuba bersikap neutral, respons beliau tidak diterima baik oleh kumpulan penunjuk perasaan, yang menurutnya hanya mahukan pembebasan Palestin daripada pengaruh Yahudi.
Isu ini telah mencetuskan lebih banyak kontroversi terhadap Nas Daily, yang sebelum ini turut dikecam kerana dianggap tidak cukup tegas dalam menyokong Palestin, terutamanya di kalangan penyokong Palestin di seluruh dunia termasuk di Malaysia.
Dengan insiden ini, Nas Daily sekali lagi menjadi sasaran kritik, sehingga beliau benar-benar memutuskan untuk berehat daripada Instagram.
SUMBER: Vocket