Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa mengalu-alukan sokongan antarabangsa terhadap kes genosid Israel yang difailkan oleh negaranya pada Disember lalu di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
“Kami mengalu-alukan sokongan yang diberikan beberapa negara kepada kes yang kami lancarkan di ICJ. Perintah ICJ menjelaskan bahawa terdapat kes pembunuhan beramai-ramai yang munasabah terhadap penduduk Gaza,” kata Presiden Afrika Selatan itu semasa berucap di UNGA pada Selasa.
Berucap di Perhimpunan Agung PBB di New York, Ramaphosa berkata, “Kami tidak akan berdiam diri dan melihat apartheid dilakukan terhadap orang lain,” mengenang perjuangan Afrika Selatan selama berdekad-dekad menentang apartheid, yang akhirnya berakhir dengan kejayaan pada 1990-an.
“Satu-satunya penyelesaian yang berkekalan ialah penubuhan negara Palestin, sebuah negara yang akan wujud berdampingan dengan Israel, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya,” tambahnya.
Dalam ucapannya, Ramaphosa turut menggesa agar Majlis Keselamatan PBB melakukan pembaharuan menyeluruh, mengkritik struktur semasanya sebagai lapuk dan eksklusif.
“Ia tidak boleh kekal sebagai kelab eksklusif lima negara,” katanya, menggesa kemasukan Afrika dan wilayah lain dalam proses membuat keputusan majlis itu.
Qatar
Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani berkata perang Israel di Gaza adalah “pembunuhan beramai-ramai” ketika beliau berucap kepada pemimpin dunia di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Pencerobohan terang-terangan yang menimpa rakyat Palestin di Semenanjung Gaza hari ini adalah pencerobohan yang paling biadab, keji dan meluas,” katanya sambil menggelar konflik itu sebagai “jenayah pembunuhan beramai-ramai.”
Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani menegaskan bahawa Qatar akan meneruskan usaha pengantaraannya di Gaza walaupun menghadapi segala rintangan.
“Pengantaraan Gaza ‘adalah pilihan strategik kami, kami akan meneruskan usaha walaupun terdapat keraguan, dan tuduhan sehingga gencatan senjata kekal dicapai,” kata Al Thani.
Al Thani berkata bahawa tidak ada rakan kerjasama untuk keamanan di bawah kerajaan Israel sekarang.
Beliau juga berkata bahawa tamatnya pendudukan di wilayah Palestin dan hak untuk menentukan nasib sendiri bukanlah satu nikmat mahupun hadiah.
Emir Qatar itu turut mengkritik UNSC kerana gagal melaksanakan resolusi gencatan senjata di Gaza.
“Keahlian Palestin di PBB tidak akan menamatkan kesengsaraannya atau menamatkan pendudukan tetapi sekurang-kurangnya ia akan menghantar mesej kepada kerajaan sayap kanan di Israel yang terlibat dalam mencabar kesahihan Antarabangsa bahawa kekerasan tidak menghapuskan hak,” tambahnya.
Sambil menekankan Isreal bertanggungjawab atas pembunuhan Ismail Haniyeh katanya,
“Qatar sedang menjadi orang tengah dalam situasi di mana satu pihak tidak teragak-agak untuk membunuh rakan sejawatannya yang terlibat dalam rundingan seperti pembunuhan Ismail Haniyeh, yang bukan sahaja pemimpin politik Hamas tetapi juga perdana menteri Palestin yang pertama dipilih. “
Semasa menyokong untuk menamatkan serangan Israel ke atas Lubnan, beliau menambah “Israel melancarkan perang ke atas Lubnan dan tiada siapa tahu bagaimana perang ini akan merebak.”
Colombia
Presiden Colombia Gustavo Petro turut mengkritik Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu atas serangan ke atas Gaza semasa ucapannya di Perhimpunan Agung PBB.
“Apabila Gaza mati, semua manusia akan mati,” kata presiden.
“Hari ini kami mempunyai 20,000 kanak-kanak mati.”
Ketua negara Colombia itu berkata hanya suara kuasa dunia yang kedengaran di pentas antarabangsa.
“Kuasa sesebuah negara di dunia tidak lagi dilaksanakan oleh kuasa politik dan ekonomi, tetapi dengan memusnahkan manusia. Kita yang mempunyai kuasa untuk mengekalkan kehidupan bercakap tanpa diberi perhatian. Itulah sebabnya mereka tidak mendengar kami apabila kami mengundi untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza. Presiden yang boleh memusnahkan manusia tidak mendengar kami,” katanya.