Program Double Decker Mobile Clinic MAIWP-MAPIM: Saringan Awal yang Berguna untuk Masyarakat
Program Double Decker Mobile Clinic MAIWP-MAPIM di Masjid Al-Imam Al-Ghazali yang berlangsung selama dua hari telah menerima sambutan yang sangat baik daripada pengunjung terutamanya pada hari kedua semasa berlangsungnya program Maulidur Rasul Zone Satu Jawi di tempat yang sama.
Persiapan program bermula pada pukul 9 pagi dengan kerjasama penuh daripada sukarelawan dan pihak masjid. Pada hari ini telah mencatatkan lebih 150 orang pengunjung mendapatkan perkhidmatan kesihatan percuma, Double Decker Mobile Clinic MAIWP-MAPIM turut memberikan perkhidmatan pemeriksaan percuma kepada Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) yang turut hadir pada program Maulidur Rasul Zone satu Jawi.
Di tengah kesibukan kehidupan harian, sering kali kita mengabaikan kesihatan diri. Namun, program mobile clinic yang dianjurkan oleh MAIWP-MAPIM hadir sebagai satu inisiatif yang sangat bermanfaat. Nadia, seorang agen hartanah dari Masjid Imam Al Ghazali, Manjalara, mengakui betapa pentingnya program ini untuk komuniti setempat.
Nadia, yang sihat tanpa sebarang penyakit, menyatakan bahawa walaupun ada segelintir orang yang tidak peduli tentang kesihatan, banyak juga yang menghargai peluang untuk mendapatkan saringan awal.
“Program ini sangat bagus kerana ia membantu kita melakukan pemeriksaan tanpa perlu menunggu lama di klinik,” ujarnya. Dalam situasi di mana kita sering kali terikat dengan jadual yang padat, kehadiran mobile clinic ini memudahkan akses kepada perkhidmatan kesihatan.
Salah seorang pengunjung mobile clinic ini adalah Aida Hamid, seorang warga Pahang yang telah menetap di Manjalara selama hampir 30 tahun. Setelah bersara, Aida tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan yang serius, tetapi dia mempunyai kolesterol tinggi. Ketika ditanya tentang pengalaman pertamanya di mobile clinic, Aida terkejut melihat kemudahan yang disediakan.
“Saya tidak sangka ia dua tingkat! Ia seperti mini klinik yang bergerak,” katanya dengan penuh keterujaan.
Layanan daripada sukarelawan juga mendapat pujian daripada kedua-dua Nadia dan Aida. Mereka melaporkan pengalaman yang sangat memuaskan, di mana sukarelawan memberikan perhatian dan bantuan yang terbaik. Hal ini menunjukkan komitmen MAPIM dalam memastikan program ini berjalan dengan lancar dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Program mobile clinic MAPIM bukan sahaja menyediakan saringan kesihatan, tetapi juga mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga kesihatan. Ia adalah langkah awal yang sangat penting bagi sesiapa sahaja, terutamanya untuk mereka yang tidak mempunyai akses mudah kepada klinik.
Dengan kehadiran mobile clinic ini, masyarakat kini mempunyai pilihan yang lebih baik untuk menjaga kesihatan mereka. Melalui usaha ini, MAIWP-MAPIM telah berjaya menjadikan perkhidmatan kesihatan lebih dekat dan mudah diakses oleh semua, menjadikannya satu inisiatif yang patut diteruskan dan diperluaskan ke kawasan lain.