Istanbul – Mesir pada hari Rabu menegaskan kembali penolakannya terhadap kehadiran tentera Israel di Koridor Philadelphia, sempadan negara tersebut dengan Gaza, di tengah usaha mediasi yang sedang berlangsung untuk mencapai kesepakatan gencatan senjata di wilayah Palestin tersebut.
Berucap dalam sidang akhbar bersama Menteri Luar Negeri AS Antony Blinken di Kaherah, Menteri Luar Negeri Mesir Badr Abdelatty menyatakan bahawa mereka telah membincangkan keperluan mendesak untuk gencatan senjata di Gaza dan pentingnya segera mencapai persetujuan.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bertegas untuk mempertahankan kehadiran tentera di Koridor Philadelphi, sempadan Mesir-Gaza, satu pendirian yang ditolak keras oleh Kaherah.
Diplomat tertinggi Mesir itu memberi amaran tentang bahaya konflik ini yang boleh tergelincir menjadi perang serantau.
Amaran ini datang sehari selepas sekurang-kurangnya 12 orang terkorban dan hampir 2,800 yang lain cedera dalam ledakan kelui (pager) di Lebanon.
Menanggapi ledakan tersebut, Abdelatty mengutuk segala bentuk eskalasi yang mengancam kestabilan dan kedaulatan Lebanon.
Tiada komen dari Israel mengenai ledakan pager tersebut. Namun, Hizbullah bersumpah akan membalas serangan Israel selepas insiden itu.
Dalam kesempatan yang sama, Menteri Mesir itu juga menyatakan bahawa mereka telah membincangkan dengan Blinken mengenai pentingnya mencapai kesepakatan berkenaan Empangan Besar Renaissance Ethiopia dan memastikan bahawa ia tidak merugikan Mesir, serta pentingnya menyokong kesatuan Somalia.
Mesir memandang empangan Ethiopia itu sebagai “ancaman eksistensial” terhadap aliran Sungai Nil di wilayah Mesir. Bertahun-tahun perundingan antara kedua pihak gagal mencapai sebarang muafakat.
Sumber: Anadolu