Semasa

Klinik Bergerak MAPIM-MAIWP Raih Pujian di Kejohanan Sukan SK Wangsa Maju

Kuala Lumpur – Seusai solat subuh, krew Klinik Bergerak MAPIM-MAIWP hadir bagi menyantuni para peserta di Program Kejohanan Sukan Tahunan Kali Ke-33 yang dianjurkan oleh Sekolah Kebangsaan Wangsa Maju, Seksyen 2.


Antara yang mendapatkan rawatan ialah Encik Sharul Nizan bin Ramli, yang menjalani pemeriksaan kesihatan oleh Dr. Kamarudin bin Isa. Beliau dinasihati agar lebih berhati-hati dalam menjaga kesihatan, terutamanya dalam mengawal tekanan darah tinggi dan paras kolesterol. “Saya sangat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan. Doktor yang bertugas sangat teliti dan memberikan nasihat yang terperinci,” katanya.


Selain itu, Puan Wan Noorlisa binti Mohd Ramly yang mengalami sakit kepala berterusan turut menerima rawatan daripada Dr. Mohamad Hakim Zaliq bin Mohamad Zulkiflee. Beliau diberikan ubat migrain dan melahirkan rasa syukur atas perkhidmatan percuma yang ditawarkan. “Alhamdulillah, saya sangat teruja dan tidak menyangka perkhidmatan ini diberikan secara percuma. Program seperti ini perlu diadakan dengan lebih kerap. Terima kasih Klinik Bergerak MAIWP-MAPIM,” ujarnya.

Puan Siti Arneda binti Muhammad, yang juga penganjur dari Sekolah Kebangsaan Wangsa Maju, Seksyen 2, mendapatkan rawatan untuk masalah alergi kulit daripada sukarelawan, Dr. Mohamad Hakim Zaliq bin Mohamad Zulkiflee. Beliau menyatakan rasa amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan oleh Klinik Bergerak sepanjang program tersebut.

Bagi program kali ini, seramai 64 orang menerima manfaat perkhidmatan mobile clinic, dengan maklum balas yang diterima sangat positif.

 

Related Articles

Back to top button