Program Double Decker Mobile Clinic MAIWP-MAPIM menyedarkan masyarakat untuk membuat pemeriksaan
Kuala Lumpur – Program Double Decker Mobile Clinic MAIWP-MAPIM telah diadakan di Wangsa Maju atas undangan komuniti setempat.
Walaupun kawasan yang dikhususkan untuk Mobile Clinic terletak di kawasan berbukit, pihak Mobile Clinic tetap berusaha membawa bas sampai ke lokasi.
Antara yang hadir pada program kali ini adalah Puan Nadia. Dia berasal dari Negeri Sembilan dan sudah menetap di Wangsa Maju sejak lima tahun lepas.
Dia mengetahui tentang program ini melalui Group Whatsapp PIBG sekolah. Kebetulan dia sudah lama tidak memeriksa tahap kesihatannya. Kesedarannya datang kerana program ini berhampiran dengan rumah dan juga kerana ia percuma.
Menurutnya, “Program ini bagus, ia dekat dengan masyarakat dan mudahkan masyarakat untuk membuat pemeriksaan.”
Program Double Decker Mobile Clinic MAIWP-MAPIM ini juga telah dihebahkan melalui poster yang ditampal pada lokasi strategik. Antara yang hadir selepas melihat poster itu adalah Puan Mona yang berumur 63 tahun. Dia baru menetap dua tahun di Wangsa Maju dan berasal dari Terengganu.
Kerjanya sebagai seorang peniaga warung nasi lemak membuatkan dia berpindah-randah dari satu tempat ke tempat yang lain. Kebetulan, petugas Mobile Clinic telah membeli sarapan pagi daripada Puan Mona.
Katanya dalam loghat Terengganu yang pekat, “Sebelum ni saya takda sakit apa-apa. Tetapi hari ni saya datang nak periksa. Kalau boleh nak periksa semua.”
Bersama Puan Mona datang untuk membuat pemeriksaan kesihatan adalah Puan Ratna, pembantunya yang berasal dari Indonesia, yang sudah hampir 13 tahun mencari rezeki di Malaysia.
Pengunjung yang hadir berbilang bangsa dan agama, dan mereka semua setuju bahawa Program Double Decker Mobile Clinic MAIWP-MAPIM adalah program yang dekat dengan masyarakat dan perlu diteruskan.
Hari ini, pengunjung yang hadir untuk membuat pemeriksaan hampir 40 orang.