KemanusiaanKesihatanSemasa

Mobile Clinic MAIWP-MAPIM santuni asnaf di Taman Melati

Program Mobile Clinic MAIPW-MAPIM di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati, Kuala Lumpur telah mencapai kejayaan besar dengan merawat lebih daripada 100 orang. Mobile Clinic berperanan penting sebagai salah satu agensi yang dijemput untuk menyantuni asnaf di Taman Melati sempena Seminar Pengukuhan Institusi Kekeluargaan Islam (SPIKE), yang dianjurkan oleh Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dengan kerjasama strategik bersama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

mobile clinic doktor

Program ini telah diserikan dengan kehadiran YAA Dato’ Hj. Mohd Amran Bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, JKSM. Dalam ucapan perasmian, YAA Dato’ menekankan betapa pentingnya program yang melibatkan interaksi masyarakat dan menegaskan keperluan kerjasama antara agensi dan komuniti bagi membina masyarakat sejahtera dan keluarga bahagia. Beliau juga menekankan perlunya sinergi antara agensi kerajaan dan bukan kerajaan untuk memastikan Mahkamah Syariah dan semua agensi agama tidak beroperasi secara bersendirian.

mapim sijil penghargaan
YAA Dato’ Hj. Mohd Amran Bin Haji Mat Zain menyerahkan sijil penghargaan kepada pegawai Mobile Clinic MAIWP-MAPIM

YAA Dato’ turut membaca teks ucapan daripada YB Menteri Agama, yang merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur. YB Menteri menyatakan bahawa SPIKE adalah salah satu program yang mendukung Pelan Transformasi Al-Falah melalui Teras Kemuliaan Syariah dengan fokus untuk memartabatkan perundangan dan kehakiman Islam serta penghayatan nilai masyarakat madani.

Seusai ucapan perasmian, YAA Dato’ berkenan menyampaikan sijil penghargaan kepada semua agensi yang telah bekerjasama dalam menjayakan program ini. Ini adalah satu langkah ke hadapan dalam mengukuhkan institusi kekeluargaan Islam dan memperkasa komuniti melalui kerjasama yang terbuka.

Related Articles

Back to top button