Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melancarkan Tabung Pembangunan Ihsan Selangor-Gaza sebagai satu inisiatif kerajaan negeri bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bagi membangunkan semula Gaza.
Sultan Sharafuddin berkenan menerima sumbangan dari dana umat Islam Selangor sebanyak RM1.2 juta, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebanyak RM200,000 dan sumbangan peribadi Menteri Besar Selangor sebanyak RM50,000 untuk disalurkan ke tabung berkenaan.
“Beta menyeru kepada rakyat dan semua pihak di Selangor untuk sama-sama membantu meringankan penderitaan dan keperitan penduduk Gaza dengan memberi sumbangan agar kita dapat membangunkan kembali prasarana yang musnah akibat serangan tentera Zionis di Gaza.
“Beta sudah menitahkan agar pengumpulan dan penyaluran sumbangan ini dibuat dan diselaraskan menerusi Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) melalui akaun Maybank Islamic Berhad (562106718620) agar pengurusan serta pengelolaan dana ini dapat dibuat secara tersusun, bertanggungjawab, telus dan lancar.
“Beta mendoakan semoga Allah S.W.T. memberi ganjaran amal soleh atas infak yang disumbangkan oleh rakyat negeri Selangor untuk membantu umat Islam di Gaza,” demikian titah baginda dalam kenyataan hari ini.
Baginda berkenan melancarkan tabung berkenaan di Majlis Perasmian Masjid & Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat Dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya 1445H dan Sambutan Nuzul Al-Quran serta Pelancaran Tabung Pembangunan Ehsan Selangor-Gaza di Masjid Kota Kemuning, di sini hari ini.
Baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Menurut kenyataan itu Pembangunan Ihsan Selangor-Gaza akan membabitkan tiga projek pembangunan di atas tanah wakaf di Gaza yang memerlukan dana berjumlah RM8.7 juta.
Pembinaan 1 blok Apartment Darul Ehsan (RM3.0 juta), Masjid Darul Ehsan (RM4.0 juta) dan Menara Tangki Air Darul Ehsan (RM1.7 juta).
Pada majlis sama, Haji Faris Hussain, Setiausaha Agung MAPIM berkata, “Projek ini adalah inisiatif oleh CEO MAPIM, (Dr.) Sani Araby Al Kahery, yang akan dimulakan selepas kita dapat jaminan keselamatan daripada pihak Palestin dan melihat keadaan senario perang itu sendiri.”
Israel telah melancarkan serangan ke atas Gaza selama hampir enam bulan.
Lebih 32,000 rakyat Palestin telah terbunuh dan kira-kira 75,000 cedera di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.
Perang Israel telah mendorong 85 peratus penduduk Gaza menjadi pelarian, manakala 60 peratus daripada infrastruktur enklaf itu telah rosak atau musnah, menurut PBB.
Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Pakar PBB terkemuka awal minggu ini mengesahkan bahawa Israel sedang melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.