PalestinSemasa

Hospital Al-Quds di Gaza tutup perkhidmatan utama akibat kehabisan minyak

Hospital Al-Quds di Gaza telah menutup “kebanyakan operasi” selepas kehabisan minyak dan tekanan akibat pengeboman israel di sekitar kompleks perubatan sejak Ahad.

Hospital itu yang terletak di kawasan kejiranan Tal al-Hawa, dikendalikan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS), berkata ia terpaksa menghentikan kebanyakan perkhidmatan “untuk mencatu penggunaan bahan api dan memastikan tahap perkhidmatan minimum pada hari-hari mendatang”.

Ia telah mematikan penjana utamanya dan kini hanya menggunakan penjana yang lebih kecil bagi menyediakan perkhidmatan penting dan dua jam elektrik sehari kepada pesakit dan 14,000 pelarian yang berteduh di sana. Wad pembedahan dan mesin penjanaan oksigennya telah ditutup.

Jurucakap PRCS, Nebal Farsakh memberitahu Al Jazeera, “Kami bercakap tentang pengeboman kira-kira 15 meter dari bangunan hospital. Kebanyakan bangunan di sekitar hospital telah hampir musnah sepenuhnya. Pengeboman semakin hampir ke hospital, dan kami takut terkena serangan terus ke hospital.”

Kebanyakan jalan yang menghala ke Hospital Al-Quds telah ditutup, memaksa pegawai perubatan dan ambulans untuk melalui jalan yang hancur untuk sampai kepada mereka yang cedera.

“Kami mempunyai kira-kira 500 pesakit di dalam hospital. Ada 15 pesakit di ICU. Mereka cedera dan menggunakan alat pernafasan. Kami mempunyai bayi baru lahir dalam inkubator. Kami mempunyai 14,000 orang yang kehilangan tempat tinggal, yang majoritinya adalah wanita dan kanak-kanak,” kata Farsakh.

PRCS “telah kehabisan pilihan”, katanya, sambil menambah bahawa ia telah berulang kali memberi amaran selama dua minggu bahawa “bekalan bahan api akan kehabisan jika penjajah Israel terus enggan membenarkan bahan api memasuki Semenanjung Gaza”.

Israel mengenakan pengepungan total ke atas Gaza dua hari selepas perang bermula pada 7 Oktober, mengetatkan sekatan sedia ada yang telah dilaksanakan sejak 2007 dengan menyekat kemasukan bantuan, makanan, air, elektrik dan bahan api.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, 18 hospital telah dihentikan perkhidmatan sejak perang bermula, sama ada kerana kehabisan minyak ataupun akibat pengeboman.

 

SUMBER : AL JAZEERA

 

Related Articles

Back to top button