PalestinSemasa

‘Ini tahun 1948 kita’ : Anak muda Palestin 

Penduduk Palestin di Gaza memberitahu bahawa pengeboman Israel adalah begitu berat sehingga mereka merasakan mereka menjalani “Nakba” mereka sendiri, perkataan Arab untuk malapetaka yang merujuk kepada perang 1948, penubuhan negara haram Israel  yang membawa kepada perampasan tanah Palestin secara besar-besaran.

Israel pada hari Selasa menggempur Gaza dengan serangan udara paling hebat dalam konflik 75 tahun dengan Palestin, menyebabkan penduduk Gaza seperti Plestia Alaqad, 22, terpaksa berlari menyelamatkan diri.

“Keadaan ini gila – betul-betul tiada tempat yang selamat. Saya sendiri telah berpindah tiga kali sejak semalam,” kata Alaqad, yang telah merakam situasi di bawah pengeboman dan menyiarkannya di laman Instagramnya.

Selepas blok apartmennya dibom, dia berlindung di rumah rakan tetapi kemudian mendapat panggilan ia akan disasarkan juga. Selepas tinggal sebentar di hospital, di mana dia mengecas telefonnya, dia menuju ke rumah lain untuk berlindung dengan wartawan.

“Baru semalam saya faham apa yang datuk saya, semoga dia berehat dengan aman, beritahu saya tentang 1948 dan Nakba. Saya biasa mendengar cerita mengenainya, saya tidak faham,” katanya menerusi panggilan video dari sebuah rumah di Gaza di mana dia dan yang lain mencari perlindungan daripada pengeboman selepas operasi mengejut Hamas ke atas Israel.

“Saya berumur 22 tahun – dan semalam saya memahami Nakba sepenuhnya.”

Kebanyakan negara menganggap penempatan haram Israel yang dibina di atas tanah yang diduduki Israel selepas Perang Arab-Israel 1967 sebagai menyalahi undang-undang, dan selama beberapa dekad, menjadi antara isu paling kontroversi antara Israel, Palestin dan masyarakat antarabangsa.

Lebih tujuh dekad selepas Nakba, rakyat Palestin masih meratapi musibah yang mengakibatkan perpindahan mereka dan menghalang impian mereka untuk bernegara.

Dalam perang penubuhan negara haram Israel, kira-kira 700,000 rakyat Palestin, separuh daripada penduduk Arab dari Palestin yang dikuasai British, melarikan diri atau dihalau dari rumah mereka, dan telah dinafikan pulang.

Ramai yang berakhir di Jordan, Lubnan dan Syria serta di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

Israel telah mengetatkan sekatan ke atas Gaza, mengharamkan sepenuhnya import makanan dan bahan api serta memotong bekalan elektrik. Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant memberi amaran bahawa harga yang akan dibayar Gaza “akan mengubah realiti selama beberapa generasi”.

Radwan Abu al Kass, seorang pengajar tinju dan bapa kepada tiga anak lelaki, berkata rumah lima tingkatnya di daerah al Rimal telah musnah dalam pengeboman pada malam Isnin.

“Kami tidak pernah membayangkan rumah kami boleh menjadi gunung runtuhan. Itu sahaja sekarang,” katanya kepada pemberita melalui telefon.

Al Kass dan anak-anaknya kini mencari perlindungan di rumah seorang rakannya yang terletak beberapa kilometer jauhnya, tetapi khuatir serangan yang lebih berat akan datang.

“Ini tahun 1948 kita. Perkara yang sama. Ini Nakba lagi.”

SUMBER: REUTERS

 

Related Articles

Back to top button