Semasa

Keselesaan dan Kesederhanaan di Surau Awam

Oleh : Zuhaili

Malaysia adalah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam. Perlembagaan Persekutuan perkara 3 juga memperuntukkan Islam sebagai agama persekutuan. Kerana itu banyak kita lihat masjid dan surau dibina dengan pelbagai ukiran dan hiasan kesenian yang sangat indah. Malah di stesen minyak dan hentian R&R di Lebuhraya juga mempunyai surau sebagai salah satu kemudahan untuk umat Islam bersolat.

Seperti yang kita tahu, surau di stesen minyak dan R&R kebiasaanya hanya boleh memuatkan jemaah dalam bilangan yang kecil. Ada yang hanya muat untuk digunakan oleh 3 hingga 5 orang sahaja dalam satu-satu masa .Selalu kita lihat ada antara mereka yang menjadi imam solat berjemaah dan membaca surah terlalu panjang bahkan ada yang berdoa panjang secara berjemaah selepas habis solat sedangkan ramai lagi orang yang menunggu giliran untuk bersolat.

Apabila melibatkan harta awam seharusnya kita menjadi pengguna yang lebih peka dan bertolak ansur. Tidak salah untuk solat berjemaah, namun kita seharusnya memendekkan bacaan untuk memberi ruang kepada jemaah lain untuk turut sama bersolat. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan solat Subuh dan solat Maghrib-mempunyai waktu yang singkat. Dalam kepatuhan kita melaksanakan ibadat wajib yang merupakan salah satu daripada rukun Islam, kita juga perlu ingat bahawa tempat itu adalah tempat awam yang perlu dikongsi bersama.

مَنْ ضَارَّ، ضَارَّ اللَّهُ بِهِ، وَمَنْ شَاقَّ، شَقَّ اللَّهُ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Siapa yang memudaratkan (orang lain) Allah akan memudaratkannya dan siapa yang menyusahkan (urusan orang lain) Allah akan menyusahkan urusannya.”
(Riwayat al-Tirmizi)

Justeru, sebagai seorang muslim yang baik, marilah kita sama-sama menjadi manusia yang lebih bertimbang rasa dan memudahkan urusan orang lain. Jangan kerana kealpaan kita, orang lain yang menanggung akibatnya kerana terlepas waktu solat.

Related Articles

Back to top button