New York – Presiden Algeria Abdelmadjid Tebboune menggesa PBB mengadakan sesi khas bagi mengundi untuk memberi keahlian penuh anggota PBB kepada Palestin.
Tebboune pada Selasa menyentuh isu serantau dan global, termasuk perjuangan Palestin, semasa ucapannya di Perhimpunan Agung PBB ke-78 di New York City.
Beliau juga menekankan sokongan Algeria terhadap Inisiatif Keamanan Arab, memperjuangkan negara Palestin merdeka dalam sempadan 1967, dan menyebut pendudukan Israel di wilayah Palestin sebagai faktor utama ketidakstabilan serantau.
Tebboune menggesa Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi bagi penyelesaian dua negara dan menamatkan pendudukan Israel.
Presiden Tebboune mengulangi seruan negaranya untuk mewujudkan tatanan dunia baharu berdasarkan kesaksamaan,
“Pembaharuan juga diperlukan dalam Majlis Keselamatan PBB, yang selama ini lemah dalam melaksanakan tugasnya untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa serta dalam mencegah penggunaan kekerasan,” katanya.
Beliau menekankan “ketidakadilan sejarah” yang dilakukan ke atas Afrika dan kepentingan menamatkannya dengan memberikan perwakilan benua itu dalam Majlis Keselamatan PBB.
Tebboune juga menekankan pendirian Algeria mengenai krisis di negara jiran Niger, menyokong pemulihan ketenteraman perlembagaan, resolusi politik yang aman dan menolak campur tangan tentera asing.
Status Palestin di PBB
Palestin memegang status sebagai “negara pemerhati bukan anggota” dalam pertubuhan 193 anggota itu.
Pada 2012, Perhimpunan Agung PBB telah menaikkan status Palestin daripada “entiti pemerhati” kepada “negara pemerhati bukan ahli.”
Bagi mendapat keahlian penuh PBB, ia memerlukan kelulusan daripada Majlis Keselamatan PBB diikuti dengan undian dalam Perhimpunan Agung PBB.
Palestin memohon keahlian penuh PBB pada 2011 tetapi tidak mendapat sokongan yang diperlukan dalam Majlis Keselamatan PBB.
Sumber : AA