Kerja mengeluarkan mayat yang terdampar di pantai Derna berterusan, apabila jumlah kematian semakin meningkat.
Menurut Bulan Sabit Merah Libya, lebih 11,300 orang kini disahkan terkorban selepas Ribut Daniel melanda bandar timur Libya pada hari Ahad dan Isnin, sehingga menjadi sebab pecahnya dua empangan.
Datuk Bandar Derna berkata angka kematian mungkin lebih tinggi – 20,000 orang – selepas seluruh kawasan kejiranan dihanyutkan ke laut.
Air yang meluru masuk ke Derna disifatkan seperti tsunami besar.
Walaupun ramai yang melihat malapetaka itu akibat bencana alam semata-mata, pakar mengatakan bahawa rasuah, penyelenggaraan infrastruktur awam yang lemah – dan pertelingkahan politik selama bertahun-tahun, dengan keadaan Libya dibahagikan antara dua pentadbiran yang berseteru – telah menyebabkan negara tidak bersedia untuk menangani kejadian seperti ribut Daniel.
“Kegawatan ekonomi juga bermakna banyak perbalahan mengenai peruntukan dana,” kata Claudia Gazzini, penganalisis kanan Kumpulan Krisis Antarabangsa untuk Libya.
Sejak tiga tahun lalu tidak ada bajet pembangunan, tidak ada dana untuk (penyelengaraan) infrastruktur yang sepatutnya diberi, dan tiada peruntukan untuk projek jangka panjang, kata Gazzini.
“Dan tiada satu pun daripada dua kerajaan itu cukup kuasa untuk membuat rancangan besar, sesuatu yang mengekang tumpuan kepada (penyelengaraan) infrastruktur,” tambahnya.
Pihak tentera menyokong kerajaan Libya yang diiktiraf di peringkat antarabangsa yang berpangkalan di Tripoli di barat, manakala saingannya, kerajaan Libya yang berpangkalan di Benghazi di timur pula disokong oleh parlimen negara itu – telah bertempur beberapa kali sejak 2014, dan pentadbiran gagal mengadakan pilihan raya presiden yang dirancang pada 2021.
Satu contoh jelas kekurangan dana awam itu ialah empangan di Derna, yang gagal teruk.
Bercakap kepada Al Jazeera pada hari Selasa, Timbalan Datuk Bandar Derna Ahmed Madroud berkata bahawa empangan itu tidak diselenggara dengan baik sejak 2002. Ini bermakna kedua-dua kerajaan, diktator lama Libya Muammar Gaddafi, dan pentadbiran yang datang selepas beliau digulingkan dalam revolusi di 2011, telah gagal memastikan penyelenggaraan infrastruktur penting.
Tahun lepas, kertas kerja daripada penyelidik di Universiti Omar Al-Mukhtar memberi amaran bahawa kedua-dua empangan itu memerlukan perhatian segera, menunjukkan bahawa terdapat “potensi tinggi untuk risiko banjir”. Namun tiada tindakan diambil.
Kemusnahan akibat banjir adalah tragedi terbaharu bagi Derna – sebuah bandar yang mempunyai kira-kira 90,000 penduduk, yang secara tradisinya dikenali sebagai ibu kota kebudayaan negara, sebelum kumpulan seperti ISIL (ISIS) mengambil kesempatan merebutnya pada 2014, sehingga mereka dihalau keluar pada tahun berikutnya.
Tiga tahun kemudian jeneral Khalifa Haftar, yang dilihat sebagai pihak berkuasa utama di timur Libya, menguasai Derna – yang kekal sebagai kubu terakhir wilayah di timur untuk menentang pemerintah Libya di Tripoli – selepas pengepungan dua tahun yang kejam. Ketika itu bandar itu hancur dengan pengeboman dan pertempuran darat yang ganas.
Kitaran keganasan sepanjang tahun telah meninggalkan kesannya, dengan pihak berkuasa tidak melabur dalam mana-mana program pembinaan bandar yang utama.
“Satu-satunya hospital yang berfungsi di Derna hari ini ialah sebuah vila sewa yang mempunyai lima bilik tidur,” kata Hani Shennib, presiden Majlis Kebangsaan Hubungan Libya AS dan sering berkunjung ke bandar itu.
“Ini bukan baru. Ini berlaku selama 42 tahun. Ia telah mengalami pengasingan dan kekacauan politik sejak zaman Gaddafi. Setiap menteri kesihatan dan perdana menteri akan singgah ke Derna, akan membuat kenyataan tentang menyokong bandar itu dan kemudian mengabaikannyanya,” tambahnya.
Banjir itu, kata Shennib, seperti “jerami yang telah mematahkan belakang unta”.
“Hakisan di empangan di Derna bukanlah perkara baharu. Ia telah dilaporkan berulang kali, termasuk dalam jurnal saintifik dari 2011 dan seterusnya,” tambahnya. “Tiada pegawai yang memberi perhatian kepadanya.”
Ramai yang kini menyalahkan pihak berkuasa tempatan, yang dituduh cuai dalam perancangan mereka untuk ribut itu.
Pada hari Sabtu, sehari sebelum ribut tiba, Majlis Perbandaran Derna menyiarkan mesej di Facebook mengenakan perintah berkurung sambil meminta penduduk mengosongkan hanya kawasan bersebelahan dengan pantai. Pada hari Isnin, mereka mula melihat situasi itu sebagai “malapetaka”, dan memohon bantuan antarabangsa segera.
Bercakap kepada Al Arabiya pada hari Rabu, Datuk Bandar Derna Abdulmenam al-Ghaithi menolak kritikan terhadap tindakan pihak berkuasa, dengan mengatakan mereka telah menjalankan semua langkah berjaga-jaga yang diperlukan, dan memaklumkan penduduk tempatan. Tetapi ramai yang tidak bersetuju.
“Pihak berkuasa timur di Derna memikul tanggungjawab ini,” kata Anas El Gomati, pengasas dan pengarah Institut Sadeq. “Ketidakacuhan mereka walaupun ancaman jelas telah mengorbankan beribu-ribu nyawa.”
Tetapi masalahnya melangkaui pentadbiran tempatan. Ia berpunca daripada rasuah selama bertahun-tahun dan pengabaian infrastruktur awam, kata El Gomati.
“Pengabaian infrastruktur yang kritikal di Libya dan kelemahan penyelenggaraannya merupakan faktor utama yang menyebabkan empangan pecah, dan bandar itu ditenggelami air,” tambahnya. “Rasuah dan salah urus kewangan adalah punca kegagalan infrastruktur yang melanda Libya selama beberapa dekad.”
SUMBER : AL JAZEERA