SemasaSyria

Ribuan orang hilang tempat tinggal selepas rejim dan sekutu menyerang Idlib Syria

Idlib : Tentera rejim Syria, kumpulan pengganas yang disokong Iran, dan Rusia telah melakukan lebih 1,400 serangan di Idlib Syria dan kawasan sekitarnya sepanjang minggu lalu, memaksa lebih 6,000 orang awam meninggalkan rumah mereka.

Menurut pembangkang Syria, rejim dan kumpulan pengganas yang disokong Iran menyasarkan kampung di selatan Idlib dan telah melnacarkan sekurang-kurangnya 1,360 kali serangan menggunakan senjata darat ke darat.

Pada masa yang sama, pesawat pejuang Rusia membuat 46 serangan udara di wilayah itu, tambahnya.

Kampung Al Fatira, Kafr Aweed, Kansafra, Baynin, Al Bara dan Balion di selatan Idlib dan kampung Kafr Tal dan Sahara di kawasan luar bandar barat Aleppo adalah antara penempatan yang banyak disasarkan.

Mohammed Hallaj, pengarah Penyelaras Tindak Balas Kecemasan Syria, memberitahu Anadolu bahawa lima orang awam terbunuh dan 10 yang lain cedera dalam serangan itu.

Hallaj menegaskan bahawa dalam tempoh hanya seminggu, 6,382 orang awam telah dipindahkan dari rumah mereka, dengan sejumlah 22 pusat perkhidmatan awam, termasuk kemudahan kesihatan dan sekolah, menjadi sasaran dalam serangan itu.

Akibat serangan itu, gelombang penghijrahan telah berlaku dari kampung Kansafra, Balion, Al Bara, dan Kafr Aweed ke wilayah utara Idlib.

Pada September 2018, Türkiye dan Rusia bersetuju untuk menjadikan Idlib sebagai zon penampan di mana tindakan pencerobohan adalah dilarang.

Rejim Syria dan sekutunya, bagaimanapun, telah secara konsisten melanggar syarat gencatan senjata, dengan melancarkan serangan yang kerap di dalam zon itu.

Syria telah terlibat dalam perang saudara yang kejam sejak awal 2011, apabila rejim Bashar al Assad bertindak keras terhadap protes pro-demokrasi dengan keganasan yang tidak dijangka.

Beratus-ratus ribu orang telah terbunuh dan lebih 10 juta yang lain kehilangan tempat tinggal, menurut anggaran PBB.

Related Articles

Back to top button