Ryyan Alshebl : Pelarian Syria yang menjadi ‘mayor’ di Jerman.
Jerman mempunyai struktur pentadbiran yang unik. Walaupun hanya sekadar pekan kecil, mereka tetap akan mengadakan pilihanraya bagi memilih pemimpin mereka, atau dipanggil ‘mayor’. Untuk kita, istilah ‘mayor’ akan diterjemahkan kepada ‘Datuk Bandar’, namun hakikatnya, istilah ‘mayor’ juga merujuk kepada orang yang mentadbir sesebuah kawasan, walaupun kawasan kecil seperti pekan Ostelsheim yang hanya mempunyai 2,700 orang penduduk. Dan di Ostelsheim ini jugalah kisah menarik ini berlaku.
Pada tahun 2015, ketika umurnya 21 tahun, Ryyan telah menuju ke Greek dengan menggunakan sebuah bot getah. Beliau terpaksa melarikan diri daripada kekejaman perang di tanah airnya Syria apabila menerima panggilan untuk menjadi askar rejim Al Assad.
Dia bersama rakan baiknya terpaksa menyeberangi lautan Mediterranean selama lapan jam dengan penuh debaran sebelum tiba ke Greek. Perjalanannya tidak terhenti di Greek, tetapi diteruskan dengan menggunakan keretapi, bas dan berjalan kaki merentasi Eropah menuju ke destinasi akhir, Jermain.
Di Jerman dia telah dihantar ke Swabia sebuah kawasan luar bandar bagi meneruskan hidup dengan status pelarian. Di sana dia mula bergaul dengan penduduk tempatan dan apabila Pusat Rekreasi di kawasannya mahu memilih ketua dia mencalonkan diri. Bermula dari situ perjalanan politiknya bermula.
Lapan tahun kemudian, ketika umurnya 29 tahun dia telah menjadi ‘mayor’ sebuah pekan kecil, Ostelsheim dan berazam bagi memberikan khidmat yang terbaik kepada pekan tersebut. Namun dia tetap berharap pada suatu hari nanti, dia akan dapat menggunakan segala kepakaran dan pengalamannya ini bagi membangunkan negara asalnya, Syria.