Semasa

MAIWP terus komited bantu golongan memerlukan melalui Ziarah Asnaf

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terus komited dalam menyantuni ibu tunggal, warga emas dan mualaf, menerusi Program Ziarah Asnaf di sekitar Kuala Lumpur.

Program Ziarah Asnaf itu bertujuan memberi bantuan seperti bantuan musibah, wang tunai dan kit makanan keperluan dapur, untuk meringankan beban dan mengukir senyuman kepada empat keluarga yang terlibat hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Haji Mohd Na’im Mokhtar dalam ziarah itu berkata beliau tersentuh hati, melihat keadaan rumah yang didiami seorang ibu tunggal bersama 6 orang anak di Perumahan Awam Sri Johor, yang begitu daif dan sempit.

Rumah kedua itu yang saya lawati hari ini kelihatan sedih dan sangat daif. Pemiliknya Siti Khadijah Khamis, 40, ini seorang ibu tunggal mempunyai 3 anak lelaki dan 3 perempuan, duduk rumah yang hanya mempunyai satu bilik sahaja.

“Alhamdulillah, sebentar tadi kita tengok dan cadangkan kepada MAIWP untuk beliau pindah ke rumah yang lebih besar, sebab anak-anak pun dah meningkat dewasa dan bayangkan hanya satu bilik tidur…ada yang tidur di ruang tamu dan keadaan itu begitu menginsafkan“, katanya kepada BERNAMA selepas Program Ziarah Asnaf di perumahan awam itu, hari ini.

Dr Haji Mohd Na’im turut berkata sumbangan yang diberikan merupakan hasil daripada kutipan zakat, yang dibayar oleh pembayar zakat di Wilayah Persekutuan dan berharap lebih ramai lagi individu dan mana-mana golongan korporat, bersama-sama untuk tampil ke hadapan membayar zakat.

Komitmen MAIWP turun padang hari ini ialah mencari mereka yang susah dan kita bantu. Terdapat pelbagai bentuk bantuan yang diberikan antaranya sewa bulanan, persekolahan anak-anak dan bantuan tetap seperti wang tunai pada setiap bulan.

“Oleh itu, tinjauan mesra yang dijalankan hari ini untuk menyahut hasrat dan impian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk bersama-sama menoktahkan kemiskinan tegar di negara melalui agensi seperti MAIWP dan beberapa agensi agama yang lain“, katanya.

Dalam pada itu, MAIWP turut menghulurkan sumbangan kepada Adlina Aisyah Ahmad Rusli, 41, balu Allahyarham Idris Abdol Talib@Ramali, mangsa nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam, minggu lalu.

BACA JUGA
Bas double decker Mobile Clinic MAIWP-MAPIM satu inovasi yang terbaik

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button