KUALA LUMPUR: Hospital PUSRAWI Sdn Bhd (PUSRAWI) terus mengorak langkah dalam bidang rawatan jantung dengan perasmian makmal kateterisasi jantung (Cath Lab) serba baharu dilengkapi peralatan perubatan berteknologi tinggi iaitu mesin Angiography Philips Azurion 5 C2.
Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata pembaharuan yang dilakukan PUSRAWI itu akan memberikan lebih fleksibiliti untuk menjalankan prosedur dengan cara paling mudah dan berkesan ketika merawat pesakit.
“Seiring dengan tempoh hampir 40 tahun penubuhannya, kedudukan Hospital Patuh Syariah ini berada seiring dengan hospital swasta lain dalam memastikan perkhidmatan ditawarkan sentiasa kekal relevan dan terbaik kepada pelanggannya“, katanya ketika berucap merasmikan Cath Lab itu.
Sementara itu, Pengerusi Hospital PUSRAWI Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata mesin Angiography Philips Azurion 5 C2 bernilai RM4.9 juta itu merupakan yang pertama diguna pakai di negara ini.
Beliau berkata idea untuk menggunakan sistem angiogram terkini tercetus kerana ada keperluan meningkat berkaitan kes jantung di PUSRAWI yang mendorong Ahli Lembaga Pengarahnya meluluskan bajet sebanyak RM27 juta bagi menyediakan teknologi dan peralatan perubatan itu.
“Ia merupakan perkhidmatan bertaraf dunia, setaraf dengan pusat jantung lain di luar negara. Diharapkan dengan adanya rawatan terkini ini, maka pesakit yang mempunyai masalah berkaitan jantung dapat menjalani rawatan terbaik dengan kos mampu biaya“, katanya kepada BERNAMA.
Pada majlis itu pengurusan PUSRAWI turut menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) bersama pihak Hal Ehwal Akademik Kedutaan Libya yang diwakili Attache Dr Aiman A K Elmahmodi.
MOA tersebut bertujuan memberikan perkhidmatan rawatan kesihatan kepada semua kakitangan kedutaan Libya di negara ini serta kira-kira 12,000 pelajar negara itu yang menuntut di Malaysia.
BACA JUGA
Bas double decker Mobile Clinic MAIWP-MAPIM satu inovasi yang terbaik