Semasa

Nahas pesawat di Elmina: Simpan baik-baik foto ayah

SEPANG: “Ayah ada bagi dua gambarnya pada saya. Dia kata ambil dan simpan baik-baik,” ungkapan penuh hiba anak kepada pemandu e-hailing, Allahyarham Sharipuddin Shaari, 53, yang turut menjadi mangsa nahas pesawat terhempas di Elmina, Seksyen U16, Shah Alam pada Khamis.

Memetik laporan Sinar Harian, anak sulung arwah, Muhammad Sharul Izuan, 16, berkata, dia hanya mengetahui kejadian selepas anggota polis datang ke rumah di Taman Desa Vista kira-kira jam 6 petang.

Menurutnya, mereka sekeluarga terkejut dan tidak percaya apabila diberitahu arwah turut terlibat dalam insiden berkenaan.

“Pada pagi hari kejadian (Khamis), sebelum ke sekolah, saya sempat bertegur dengan ayah yang sedang isi air di tangki kereta”.

“Minggu lepas waktu kami sekeluarga dalam perjalanan ke kompleks beli belah di Sepang untuk beli buku adik, dia (arwah) tiba-tiba bagi dua gambarnya untuk saya simpan. Dia hanya kata, ambil dan simpan,” ceritanya.

Dalam nada sayu, Muhammad Sharul berkata, kira-kira jam 2:15 petang hari kejadian, ayahnya sempat menghubungi ibu memberitahu singgah minum di Elmina.

“Kali terakhir ayah telefon ibu saya. Dia kata berhenti minum sekejap, kejap lagi abang balik,” tambahnya.

Ujar pelajar Tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Salak Tinggi itu, sejak dua tiga hari lalu, dia dan rakan sering bersembang mengenai arwah.

“Biasanya ayah akan makan malam tapi kelmarin (Rabu), dia tidak mahu makan dan hanya suruh saya sahaja yang makan“.

“Bila dapat tahu berita ini memang tidak percaya. Tapi selepas tengok dashcam (perakam papan pemuka kenderaan), memang betul itu ayah, kami redha,” katanya.

Kredit Sinar Harian

Dalam kejadian kira-kira jam 2:40 petang, Khamis, Arwah Sharipuddin seorang pemandu e-hailing sedang melalui kawasan terbabit sebelum pesawat yang membawa 6 penumpang bersama 2 juruterbang dilaporkan gagal dikawal lalu terhempas merempuh kereta jenis Nissan Almera dipandunya.

Arwah Sharipuddin yang berasal dari Arau, Perlis meninggalkan seorang balu, Suriana Muda, 43, dan dua anak iaitu Muhammad Sharul serta Nur Izzara Arissya, 9.

Difahamkan, jenazah Allahyarham Sharipuddin Shaari akan dikebumikan di di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sultan Hishamuddin Bandar Baru Salak Tinggi.

BACA JUGA
Nahas pesawat di Elmina: MAPIM rakam ucapan takziah

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button