Program pemutihan tahfiz perlu lebih dipermudahkan – PITAS
SHAH ALAM: Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) percaya program pemutihan institusi tahfiz dan sekolah agama di negeri Selangor dapat diselesaikan dengan komitmen tinggi kerajaan negeri dengan kerjasama sepadu agensi-agensi berkaitan terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mempermudahkan proses tersebut.
Pengerusi PITAS, Haji Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa berkata, program pemutihan institusi tahfiz dan sekolah agama di Selangor perlu dilaksanakan dengan lebih prihatin dalam usaha untuk menyelamatkan institusi berkenaan.
Sehubungan itu, katanya, caj pembangunan dikenakan PBT perlu dikaji semula dan institusi tahfiz serta sekolah agama tidak berorentasikan keuntungan sepatutnya tidak dikenakan caj atau denda sepanjang program pemutihan ini.
“PBT juga disarankan agar tidak mengeluarkan sebarang saman ke institusi tahfiz dan sekolah agama sepanjang program pemutihan berjalan,” katanya memetik laporan SINAR.
Beliau menambah, pada tahun 2021 dan 2022 terdapat 4 saman diterima daripada PBT yang kemudiannya dipanjangkan ke Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan mendapat perhatian serius dari beliau.
“Alhamdulillah setakat ini juga belum ada mana-mana institusi tahfiz dan sekolah agama yang ditutup oleh kerajaan negeri mahupun Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)“.
“Pelbagai bantuan, taklimat dan kursus dilaksanakan JAIS dalam memperkasakan sekolah Islam di Selangor dan pembaharuan pendaftaran JAIS ini dilihat dapat membantu institusi tahfiz walaupun dilakukan setiap tahun bagi pendaftaran sementara,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, satu kriteria khusus perlu ditimbangkan oleh JAIS bagi institusi tahfiz dan sekolah agama yang mendapat pendaftaran sementara tetapi tidak dapat memperbaharui pendaftaran disebabkan oleh proses pemutihan yang panjang.
Menurutnya, kegagalan memperbaharui pendaftaran menyebabkan institusi tahfiz dan sekolah agama tidak mendapat bantuan dari Jakim dan kerajaan negeri malah sekolah terbabit tidak dapat didaftarkan untuk mengambil peperiksaan seperti PSRA dan SMA.
“Bantuan baik pulih JAKIM juga perlu diperluaskan kepada program pemutihan kerana ia melibatkan isu keselamatan bangunan dan Kementerian Kewangan diharap dapat mempertimbangkan permohanan Jakim dan suara akar umbi institusi tahfiz demi melihat generasi Al-Quran diperkasakan melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN),” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, PITAS turut menggesa pengusaha, pengerusi, mudir institusi tahfiz dan sekolah agama hendaklah berganding bahu dan menyegerakan permohonan pemutihan supaya peluang yang diberikan oleh kerajaan negeri dan JAIS dapat dimanfaatkan.
“Perkara ini perlu mendapat perhatian serius memandangkan ada sebahagian institusi tahfiz acuh tak acuh dalam tindakan“.
“PITAS juga memohon agar semua institusi tahfiz dan sekolah agama diberi peluang dan kesempatan untuk diputihkan (legalize) tanpa perlu diambil tindakan penutupan kerana institusi tahfiz dan agama telah melahirkan modal insan berkualiti dan integrasi personaliti yang menguntungkan bagi sebuah negeri maju seperti Selangor“.
“Saya mewakili institusi tahfiz di Selangor berterima kasih kepada kerajaan negeri Selangor, MAIS, JAIS, LZS dan pihak berwajib dalam membantu dan memperkasa Institusi Tahfiz dan Sekolah Agama di Negeri Selangor,” katanya.
BACA JUGA
GISBH manfaatkan MAPIM Mobile Kitchen bantu ummah di Johor