PendidikanSemasa

Program pendidikan pesawat tanpa pemandu (UAV) pupuk minat bidang aeroangkasa

KUALA TERENGGANU: Syarikat pelaburan induk strategik kerajaan negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) memperuntukkan RM45,000 bagi projek TI-BsAs Aeronautics UAV In-School Programme di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa.

Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata program pendidikan pesawat tanpa pemandu (UAV) itu adalah yang pertama diadakan di sekolah di negara ini, bertujuan menanam minat pelajar dalam bidang aeroangkasa yang melibatkan mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).


Katanya, program itu menyasarkan pelajar tingkatan satu susulan pengenalan subjek baharu iaitu Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) dan Asas Sains Komputer (ASK) dalam silibus akademik sekolah Kementerian Pendidikan (KPM).

“Program pendidikan aeroangkasa ini dijalankan selama empat tahun bermula tahun ini”.

“Ini ialah satu daripada sumbangan syarikat dalam meningkatkan prestasi bidang STEM ke arah mengembangkan kemahiran sumber manusia untuk menjayakan Revolusi Industri Keempat (IR4.0),” katanya pada majlis perasmian program pendidikan UAV SMK Bukit Sawa di Wisma Darul Iman lapor BERNAMA.

Sementara itu, guru penasihat program Badrul Hisyam Zakaria berkata pihaknya bekerjasama dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk penyediaan modul latihan dan pembelajaran.

Menurut beliau, proses pemilihan tujuh pelajar untuk projek berkenaan sedang dijalankan untuk menilai kecenderungan dan minat masing-masing dalam bidang sains dan teknologi.

“Sasaran kita untuk menghasilkan pelapis tenaga pakar dalam bidang aeroangkasa dengan penekanan daripada peringkat awal sekolah,” katanya.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button