Tabung Haji umum 3.10% agihan keuntungan
Malaysia masih menunggu keputusan rayuan kelulusan tambahan 350 lagi kouta haji tahun ini
KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.10% bagi tahun kewangan 2022 setelah mengambil kira zakat 2.57%.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan, agihan keuntungan tersebut melibatkan jumlah agihan sebanyak RM2.65 bilion dan akan memberi manfaat kepada lebih 8.7 juta pendeposit.
“Agihan keuntungan ini adalah kompetitif mengambil kira antara lainnya kadar agihan bagi tahun 2022 adalah lebih tinggi daripada purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan, iaitu 2.34% dan zakat telah dilunaskan bagi pihak pendeposit.”
“Agihan Keuntungan 2022 adalah setelah TH melunaskan zakat sebanyak RM97 juta kepada semua Majlis Agama Islam Negeri bagi pihak pendeposit, menjadikan jumlah terkumpul sebanyak RM1.27 bilion sehingga kini,” katanya pada sidang media pengumuman agihan keuntungan TH, pada Jumaat.
Beliau turut menjelaskan, pengiraan agihan keuntungan tahunan 2022 adalah berdasarkan purata baki minimum bulanan yang disimpan sepanjang tahun, iaitu sebagaimana pengiraan tahun-tahun sebelum ini.
Sementara itu, TH memaklumkan, para pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula pukul 12 tengah hari, esok 29 April ini.
Urus niaga TH akan ditangguhkan sementara waktu bermula jam 8 malam, Jumaat, 28 April 2023 sehingga jam 12 tengah hari, Sabtu, 29 April 2023, bagi melancarkan urusan pengkreditan agihan keuntungan.
Dalam perkembangan sama, Dr Mohd Na’im turut memaklumkan Malaysia masih menunggu keputusan rayuan kelulusan tambahan 350 lagi kouta haji tahun ini daripada kerajaan Arab Saudi.
Beliau berkata rayuan kepada kerajaan Arab Saudi bagi penambahan kuota itu sudah dikemukakan sebanyak dua kali pada Januari dan Februari lalu.
Tambahnya, Malaysia mempunyai asas untuk memohon tambahan kuota terbabit berikutan pertambahan populasi penduduk negara ini yang sudah meningkat kepada 31.95 juta penduduk.
“Yang kita dah dapat ini sebanyak 31,600, jadi kita ada asas yang kita sebut kepada kerajaan Arab Saudi kenapa kita nak naikkan 350 lagi supaya jumlahnya jadi 31,950. Jadi bahagian itu kita akan tunggulah daripada kerajaan (Arab Saudi),” katanya.