Berhati-hati di jalan raya ketika musim perayaan
Hari Raya adalah masa yang dinantikan untuk saling kunjung-mengunjungi sanak saudara dan kenalan di merata tempat serta mungkin ada yang merancang percutian bersama keluarga.
Di Hari Raya Aidilfitri ini, seluruh pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan pandu dengan selamat di jalan raya.
Ini kerana musim perayaan sering dikaitkan dengan insiden kemalangan jalan raya. Jadi terdapat beberapa persediaan sebelum dan semasa perjalanan yang boleh dipatuhi agar perjalanan lebih selamat serta teratur.
Sebelum memulakan perjalanan, dinasihatkan untuk melakukan pemeriksaan kenderaan di pusat servis kenderaan yang dipercayai. Periksa keadaan tayar, minyak enjin, bateri, air bateri, pendingin hawa dan sebagainya. Pastikan kenderaan diselenggara dengan baik dan selamat dipandu.
Selain itu pastikan mendapat rehat yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan jauh. Memandu di dalam keadaan yang mengantuk dan letih adalah berbahaya.
Semasa dalam perjalanan pula, tetapkan kelajuan mengikut keadaan trafik semasa. Elakkan memandu perlahan di lorong kanan, memotong dari lorong kiri dan menggunakan laluan kecemasan. Amalkan sikap saling bertoleransi, bertolak ansur dan bertimbang rasa sesama pengguna jalan raya.
Jika mengantuk, seeloknya berhenti dahulu di tempat yang selamat untuk berehat atau boleh bergilir-gilir memandu dengan keluarga serta rakan yang bersama bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku.
Ingatlah insan yang tersayang. Pulang ke kampung halaman pastinya menjadi keutamaan, bertemu ibu ayah tercinta dan berkumpul seisi keluarga mengeratkan lagi ikatan kasih sayang. Jadi pandulah dengan cermat dan jadilah pemandu yang berhemah. Pandu cermat, jiwa selamat.